Gambar hiasan
AGENDA NASIONAL

Remaja 13 tahun lemas jatuh kolam ketika memancing

SEREMBAN, 3 MAC: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh di sebuah kolam berhampiran Taman Bukit Saga, Mantin, dekat sini lewat malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Nazri Mohd Nor berkata mayat Danny Izzahagi Muhammad Azrul dari Taman Desa Pelangi, Mantin di sini ditemukan pasukan bomba pada 11.28 malam tadi.

Beliau berkata bomba menerima panggilan daripada bapa mangsa pada pukul 6.52 petang semalam mengenai kejadian tersebut.

“Bapa mangsa telah mencuba menyelam mencari mangsa di kolam tersebut namun tidak berhasil, kemudian telefon bomba untuk bantuan. Mangsa dijumpai di dasar kolam.

“Difahamkan pada 5.30 petang, mangsa bersama empat rakannya memancing di kawasan kolam tersebut dan rakan mangsa memaklumkan mangsa berlari di kawasan tersebut sebelum terjatuh ke dalam kolam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

— BERNAMA


Pengarang :