Maklumat berkaitan cuaca serata Malaysia boleh dirujuk dilaman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ribut, hujan lebat dijangka landa Selangor, beberapa negeri hingga 6 petang

SHAH ALAM, 15 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga jam 6 petang hari ini.

Menurut MetMalaysia, bagi Selangor, daerah terbabit adalah Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Jelebu, Negeri Sembilan; Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak; Pulau Pinang serta Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa negeri lain sehingga jam 5 petang iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; Kuala Pilah, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Melaka, Johor; Bintulu, Sebauh, Subis dan Limbang di Sarawak; kawasan pedalaman Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan di Sabah.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata penumpuan angin di kawasan pantai barat Semenanjung dijangka berlaku sehingga 16 Mac ini, manakala di kawasan barat dan tengah Sarawak pula sehingga 18 Mac ini.

Katanya, ramalan itu adalah hasil analisis model ramalan dan penyelidikan cuaca MetMalaysia (MET-WRF), pusat ramalan cuaca jarak sederhana Eropah (ECMWF) dan sistem ramalan global (GFS).

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan ribut petir yang lebih menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta kawasan barat dan tengah Sarawak dalam tempoh tersebut.

“Oleh itu, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

 


Pengarang :