Reaksi dan gelagat kanak-kanak ketika berkhatan dalam program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak pada 6 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Ringan beban ibu bapa, 203 kanak-kanak sekitar Gombak khatan percuma

GOMBAK, 6 MAC: Seramai 203 kanak-kanak sekitar daerah ini berkhatan secara beramai-ramai menerusi Program Sunathon Perdana Selangor 2022 di Masjid Jamek Al Amaniah Batu Caves di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, 92 peserta dari mukim Batu, Kuang (66), Setapak (33), Rawang (10) dan Hulu Kelang (dua) yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.

Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata program anjuran Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diadakan secara percuma.

Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berucap dalam program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak pada 6 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya menghargai komitmen penghulu dan ketua-ketua kampung tradisi yang bertungkus-lumus membuat hebahan serta mendapatkan seramai mungkin peserta

“Diharap usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah berikutan kos berkhatan agak tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi.

Sementara itu, Nor Azlina berkata Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 3,300 kanak-kanak seluruh Selangor mendapat manfaat melalui inisiatif tersebut.

“Sebelum ini program dijalankan di Hulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dan hari ini di Gombak, seterusnya akan bergerak ke daerah lain mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, program berjalan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dengan setiap peserta diwajibkan menjalani saringan ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebelum dibawa ke bilik berkhatan.

Program tersebut dikendalikan 20 pegawai perubatan bertauliah dari Pertubuhan Kebajikan Perubatan Komuniti (PKOM).

Program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 diadakan di seluruh negeri secara percuma mulai 26 Februari hingga 13 Mac depan.

Lokasi dan tarikh program Sunathon akan datang seperti berikut:

1. Petaling – 7 Mac (Dewan Kenangan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling)

2. Sepang – 12 Mac (Dewan Bandar Baru Salak Tinggi)

3. Kuala Langat – 13 Mac (Dewan Sri Jugra, Teluk Datuk, Banting)


Kanak-kanak menunggu giliran untuk berkhatan dalam program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak pada 6 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :