Tiga beradik membersihkan kebun cili bapanya yang musnah dalam kejadian banjir di Kampung Seri Tanjung Tujuh, Dengkil, Sepang pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM8.6 juta dilulus pulih sektor pertanian, penternakan pascabanjir

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak RM8.6 juta bantuan diluluskan bagi membantu golongan petani di seluruh negeri ini yang terkesan susulan banjir pada akhir Disember lalu.

EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta disalurkan Kerajaan Negeri manakala baki melalui peruntukan pembangunan semula agromakanan.

“Bantuan yang diberikan adalah berbentuk input tanaman seperti baja, peralatan dan pembaikan infrastruktur termasuk makanan ternakan.

“Hampir 1,000 warga tani di daerah yang terkesan dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Ada kalangan mereka yang sudah terima dan akan dapat selepas ini termasuk dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Terdahulu seramai 23 wakil rakyat turut serta dalam sesi perbahasan bermula kelmarin dengan wakil rakyat Jeram Mohd Shaid Rosli membangkitkan pertanyaan berhubung status bantuan kepada golongan itu.

Sebelum ini, Ir Izham berkata Kerajaan Selangor akan meneliti bentuk bantuan sesuai diberikan kepada petani dan penternak yang terjejas akibat bencana itu.

Menurutnya, kategori kerosakan akan dinilai bagi memastikan golongan terbabit dapat mengusahakan kembali tanaman dan ternakan mereka.


Pengarang :