Anggota penyelamat dari pelbagai agensi bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2 Ampang pada 11 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Runtuhan tanah Taman Bukit Permai berlaku dua kali – saksi

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Dua kali runtuhan tanah berlaku disertai dengan hujan gerimis.

Itu perkongsian seorang saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta, petang tadi.

Azril Sham Mohamed, 50, berkata ketika kejadian beliau baru sahaja pulang dari tempat kerja di Bangi, dekat sini sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada tanah runtuh itu.

“Apabila saya sampai di rumah sekitar 6 petang tadi, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat tanah runtuh berhampiran kawasan rumah saya.

Saya segera memanggil isteri dan anak saya untuk diselamatkan dan bawa mereka ke tempat selamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Azril berkata beliau telah menetap di kawasan perumahan berkenaan selama 13 tahun dan bencana itu merupakan kali pertama berlaku.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

Sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

Kerja mencari kini sedang dijalankan bagi mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti.

– BERNAMA


Pengarang :