BUDAYARENCANA

Sakit jantung

Oleh Abdullah Hussaini

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Hampir dua puluh tahun Jasuli tidak melihat rupa kampung halamannya, atau orang dari kampungnya sejak melarikan diri setelah dituduh bermukah dengan Kak Nab, isteri ketua kampung. Dia sendiri hampir lupa wajah Kak Nab atau lakinya yang menyuruh budak-budak jantan sana melanyaknya. Tiba-tiba hari ini, seorang lelaki bersama isterinya yang singgah di kedai menegurnya.

“Dee, kan?” kata lelaki itu dengan mata dikecilkan sedikit sebelum perlahan-lahan membesarkanya.

Jasuli menggeleng dan berkata kau tersilap orang ni. Dee memang dia. Dee adalah nama timangannya di kampung dulu. Raut mukanya serta-merta bertukar.

“Ah, aku tak silap. Tu, tahi lalat bawah bibir tu. Makin besar, tapi aku masih cam, Dee.”

Dia tidak boleh berkata apa selain tersengih tanda mengiakan. Entah berapa ratus kilometer jarak dari Ulu Tiram dengan Padang Besar, tapi hari ini jarak itu dikecilkan oleh satu sapaan.

“Duduklah, apa nak makan?” pelawa Jasuli selaku tuan gerai.

Pelanggan tidak ramai ketika itu. Dua orang tua berkopiah lusuh sedang rancak berbual. Seorang pemandu lori ralit menatal telefon sambil mengunyah roti canai dan seorang cikgu baru tiba, sedang membelek-belek tali pelitup wajahnya yang tercabut.

“Ya Rabbi, lama sungguh tak jumpa kau. Aku ingat kau dah mati. Amacam sekarang, sihat?”

Angguk. Jasuli mengesat meja dan melihat sekilas. Lelaki itu hanya hendak minum. Teh ais pekat dan kurang manis dua gelas. Jasuli melaung kepada pekerjanya di dapur. Kepalanya tiba-tiba memainkan beberapa potong ingatan lepas. Dia tidak cam siapa lelaki ini. Adakah salah seorang yang pernah memukulnya dulu?

“Dekat dua puluh tahun eh. Lama tu. Tapi, dunia ni memang kecik. Tak sangka berjumpa di sini, kan.”

Lelaki itu masih memandang Jasuli. Senyumannya lebar, menampakkan barisan gigi yang putih dan ada sebatang gigi tercabut. Siapa mamat ni, getus Jasuli. Dan mata isterinya pula tak lepas dari skrin telefon, ralit menonton siaran langsung Facebook.

“Ini Syafiq, ya?” Jasuli sekadar menebak. Kalau boleh dia tak mahu bercakap. Tapi tidak elok pula kalau dia mengunci mulut.

“Eh kau ni. Aku Kamil. Jiran selang dua buah rumah kau dulu. Ingat?”

“Kaaa… mil?”

Jasuli menggesek-gesek dagunya. Dia tidak ingat nama ini. Rupanya pun tak terakam langsung dalam kepala. Namun hatinya makin rasa tidak sedap. Tidak selesa. Rasa menyesal membuka gerai hari ini. Perjumpaan dengan seseorang dari kampungnya dulu adalah perkara terakhir dia mahukan dalam kehidupannya sekarang.

“Nampaknya kau dah lupa banyak benda pasal kampung kau. Eh duduklah dulu, kita sembang sikit.”

“Itulah, sebab dah berumur mungkin,” kata Jasuli sekadar tersengih. Sengihannya dibuat-buat.

Air teh dua gelas sampai. Jasuli menyeluruhi lelaki itu. Kamil? Dia cuba mengingat. Entah siapa. Kamil menghirup teh. Dia tak gunakan straw. Dia keluarkan straw dan letak di atas meja, kemudian mengusap rambutnya ke belakang. Isterinya meletakkan telefon sebentar, melihat Jasuli dan tanya, “Dee? Macam nama pelawak tu?”

Kamil gelak kecil. Dia angguk dan minum lagi teh. Jasuli tak senang duduk.

“Orang kampung panggil dia Dee sebab muka seiras. Cuba tengok betul-betul.”

Si isteri menurunkan sedikit kacamata, merenung dan berkata, “Eh, betullah bang.”

“Macam mana hidup sini, okey?”

“Okey je.”

“Siap berkedai lagi. Dah lama?”

Kenapa lelaki ini begitu mesra? Dia kawan aku kah dulu?

“Bolehlah, nak hidup lepas pencen ni.”

“Pencen? Awal betul pencen. Kau belum sampai lima puluh, kan?”

Sampai umur aku pun dia tahu? Tentu dia tahu juga hal malam itu. Malam ketika dia dijerkah, diserbu dan dilanyak sebelum dapat melarikan diri.

“Tak adalah. Aku kerja swasta sebelum ni. Berhenti awal. Dah puas kerja dengan orang.”

Dia terbiasa bercerita panjang, dan hampir saja melakukannya lagi di depan Kamil. Tapi dia terhenti di situ, tidak mahu lanjutkan apa-apa.

“Ooo… padanlah.”

Jeda. Masing-masing tidak bercakap apa. Kesenyapan itu dipecahkan oleh laungan pemandu lori yang hendak membayar minuman. Sebelum Jasuli sempat bangun, pekerjanya terlebih dahulu mendapatkan pemandu lori itu. Terlepas peluang, rungutnya.

“Kau ingat kan, Kak Nab?”

Tekaannya betul. Kisah silam ini pasti diungkit kembali. Apa hal? Aku sudah berkahwin, dah ada tiga orang anak. Kenapa dibawa kembali kisah silam ini? Jasuli teragak-agak menjawab, “Tak… ingat.”

Kamil merenungnya dalam-dalam. Kepalanya direndah dan diserongkan sedikit lalu telunjuknya diluruskan. Dia berkata, “Kau biar betul. Lupa sungguh?”

Jasuli merasakan adalah satu pengkhianatan kepada sejarah diri jika dia menipu. Tetapi dengan jawapan dalam nada teragak-agak, dia mengisyaratkan bahawa dia tidaklah benar-benar lupa, cuma tidak pasti.

“Dia baru meninggal.”

“Bila?” laju dia bertanya.

“Dalam empat bulan dah.”

Angguk dan senyap.

“Aku masih ingat kejadian tu,” kata Kamil tanpa memandang. Tehnya sudah habis dan dia mengacau-ngacau ketulan ais dengan strawnya.

Mujur kali ini dua pakcik berkopiah minta tambah air. Jasuli cepat-cepat ke dapur. Dia membancuh dengan perlahan, mengacau susu dengan perlahan, semuanya untuk meredakan detak jantung yang kian kencang. Selepas menghantar minuman, Jasuli perasan Kamil sudah tiada. Di meja, sekeping not lima ringgit. Pada mulanya dia tidak mahu pedulikan lelaki itu tetapi mengubah fikiran dan bergegas mendapatkan Kamil yang sudah masuk ke dalam kereta.

“Kak Nab sakit apa?”

Kamil menurunkan tingkap, “Serangan jantung, Dee.”

Lama Jasuli terpaku depan kereta dan menunduk, meraih kembali kenangan.

“Aku pergi dulu ya,” kata Kamil.

Lamunan Jasuli terbubar. Dia mengangkat wajah dan bertanya, “Kejap, kau ingat tidak nama sebenar aku?”

Kamil tertegun, mengetap bibir, menggeleng perlahan sebelum berpaling kepada Jasuli dan membalas, “Tak… ingat.”


Pengarang :