Selangorkini
Pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Gombak Setia menunjukkan kertas tertera nama dan kelas masing-masing ketika tinjauan pembukaan semula sesi persekolahan pada 1 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Sekolah dibenar laksana aktiviti sukan, kokurikulum secara berkumpulan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa penambahbaikan ke atas tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

KPM dalam kenyataan malam ini memaklumkan garis panduan tersebut dikeluarkan susulan kebenaran menjalankan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah, melibatkan individu atau berkumpulan secara bersemuka di kawasan sekolah bermula Isnin ini.

“Dalam hal ini, guru, jurulatih, pengajar yang terlibat dalam aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka bersama murid hendaklah lengkap divaksin,” menurut kenyataan itu.

KPM turut membenarkan penganjuran aktiviti, pertandingan, kejohanan sukan dan kokurikulum, namun pelaksanaannya terhad dalam kawasan sekolah dan hanya melibatkan murid, guru, jurulatih dan pengajar sekolah berkenaan sahaja.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar pula perlu mendapatkan kebenaran KPM.

Pihak kementerian juga berhak membatalkan sebarang penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti atau pertandingan sukan dan kokurikulum, jika didapati penganjur tidak mengikut ketetapan.

“KPM ingin menegaskan bahawa semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dalam kawasan sekolah hendaklah mematuhi garis panduan Annex (Lampiran) Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” menurut kenyataan itu.

Garis panduan tersebut turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM juga menyarankan agar ketetapan tersebut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

Lampiran berkaitan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum ini boleh diperoleh melalui pautan      di laman web kementerian tersebut.

— BERNAMA

 


Pengarang :