Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terpaksa meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Selangor, beberapa negeri dijangka alami ribut petir dan hujan hingga 1 pagi

SHAH ALAM, 6 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 1 pagi esok.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan daerah di negeri ini yang diramal berdepan dengan cuaca tersebut ialah di Hulu Langat.

Selain itu, keadaan sama dijangka berlaku di hampir semua kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak); Kelantan (Jeli dan Gua Musang) serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang).

Kawasan di Sarawak pula ialah Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu (Tatau), Miri (Marudi) dan Limbang serta Sabah (Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Nabawan)).

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my , media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :