Hee Loy Sian bercakap pada sidang media selepas merasmikan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Taman Tema Sunway Lagoon, Subang Jaya pada 5 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor jaya Earth Hour Sabtu ini, usaha lestari alam sekitar

SHAH ALAM, 22 MAC: Kerajaan Negeri akan menganjurkan kempen Earth Hour dalam usaha melestari alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim pada Sabtu ini.

EXCO alam sekitar dan perubahan iklim berkata orang ramai digalak turut serta dengan memadam lampu elektrik di bangunan pejabat, premis perniagaan serta kediaman isi rumah dari 8.30 hingga 9.30 malam.

Menurut Hee Loy Sian, bangunan Kerajaan Negeri termasuk seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diseru melakukan tindakan sama dalam tempoh tersebut selain mengalu-alukan pembabitan sektor swasta.

“Demi keselamatan orang awam dan pengguna bangunan, hanya lampu perhiasan, lampu tidak digunakan dan alat elektronik yang perlu dipadamkan serta bukan black out sepenuhnya.

“Lampu keselamatan perlu dipasang mengikut keperluan bangunan masing-masing bagi memastikan keselamatan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan kempen itu sebagai acara tahunan bagi memupuk kesedaran rakyat berhubung perubahan iklim dan alam sekitar yang sedang dialami seluruh dunia.

Menurutnya, ia sebagai salah satu cara menghentikan kadar penurunan kualiti alam sekitar selain mengurangkan pembebasan karbon daripada sektor pembekalan elektrik secara berperingkat menjelang 2030.

“Kempen ini bagi menggalakkan masyarakat memikirkan semula tindakan mereka yang boleh menyumbang kepada pemuliharaan sumber bumi.

“Diharap ia dapat diaplikasi dan dilaksanakan semua rakyat Selangor agar dapat bersama dengan masyarakat global untuk menjaga alam sekitar serta mewujudkan dunia lebih mampan,” katanya.


Pengarang :