Keadaan jalan yang dinaiki air akibat banjir kilat susulan hujan lebat sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Selangor, negeri lain diramal ribut petir dan hujan petang ini

SHAH ALAM, 22 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 5 petang ini.

Agensi menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut diramalkan berlaku melibatkan tiga daerah di negeri ini iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Pahang meliputi Raub dan Bentong, Johor (Pontian, Kulai Kota Tinggi dan Johor Bahru) serta Sarawak (Limbang).

Manakala ramalan sama bagi kawasan lain sehingga 4 petang ialah Pekan dan Rompin, Pahang; Johor (Batu Pahat, Kluang dan Mersing) serta Sabah (Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahat Datu), Sandakan (Beluran dan Sandakan) dan Kudat).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :