Sebahagian ahli Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang hadir sempena majlis penyerahan watikah yang di sampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor rancang perkasa penggerak belia, lahir pemimpin berkualiti

SHAH ALAM, 22 MAC: Kerajaan Negeri berhasrat memperkasa Penggerak Belia Selangor (PeBS) ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata usaha itu bagi melahirkan pemimpin pelapis berkualiti selain menjadi ejen kepada masyarakat.

“Kita sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang cadangan untuk penambahbaikan sistem PeBS yang sedia ada,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew yang mencadangkan agar PeBS diwujudkan sebagai jawatan khas di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengurus hal ehwal belia.

Jelas Mohd Khairuddin, pihaknya menjenamakan semula Penggerak Belia Tempatan (PeBT) kepada PeBS yang ditempatkan di 56 DUN tahun lepas.

“Seramai lima wakil belia dilantik di setiap DUN untuk membentuk satu jawatankuasa PeBS yang berperanan sebagai ejen penggerak aktiviti belia di peringkat akar umbi,” katanya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan sebanyak 205 program PeBS berjaya dilaksana sepanjang tahun lepas.

DUN Kinrara mencatat jumlah tertinggi iaitu 15 program diikuti Balakong (13) dan Bandar Utama (11).


Pengarang :