EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian menjawab soalan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 21 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNAGENDASELANGOR

Selangor rangka pelbagai inisiatif tangani isu perubahan iklim

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri menubuhkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau bagi menangani isu perubahan iklim sekali gus mengurangkan pembebasan karbon.

EXCO Perubahan Iklim Hee Loy Sian berkata antara inisiatif yang dilaksana menerusi pelan itu adalah menggalakkan masyarakat menaiki pengangkutan awam seperti Bas Smart Selangor.

“Kerajaan Selangor turut melaksanakan perbandaran hijau dengan mengguna pakai Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) dalam perancangan dasar di semua peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita turut menyokong inisiatif PBT, jabatan dan agensi negeri untuk mempergiatkan lagi program yang mengurangkan impak perubahan iklim untuk jangka panjang antaranya seperti kempen penanaman 100 juta pokok dan kempen ‘Earth Hour’,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin yang bertanya berhubung apakah kajian, polisi atau inisiatif berkaitan perubahan iklim.

Loy Sian menambah, Kerajaan Negeri turut melaksanakan panel solar di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan sembilan bangunan di setiap Pejabat Daerah dan Tanah bagi menjimatkan elektrik.

“Kerajaan Selangor turut meluluskan pembangunan Ladang Solar Selangor (LSS) di Ladang Bukit Kerayong, Klang kepada syarikat Sharp Ventures Sdn Bhd.

“Pada Januari lalu, turut ditubuhkan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim yang terdiri daripada pakar dan akademik , mereka bertanggungjawab mengkaji isu iklim dan pemanasan global di negeri ini bagi mencorakkan pembangunan seimbang,” katanya.


Pengarang :