Orang ramai membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam pada 5 Mei 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor sedia 12,578 petak bazar Ramadan, bantu penjaja cari rezeki

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Selangor menawarkan 12,578 petak bazar Ramadan membabitkan 241 lokasi tahun ini, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata tawaran bazar Ramadan itu dapat meningkatkan peluang golongan penjaja mencari rezeki khususnya dalam keadaan pasca pandemik Covid-19.

“Pihak berkuasa tempatan menjalankan beberapa inisiatif seperti menggiatkan promosi tawaran tapak kepada peniaga, menempatkan peniaga-peniaga tanpa lesen di petak kosong bazar Ramadan dan menggalakkan kaedah pembayaran tanpa tunai.

“Bagi penjaja-penjaja yang tidak terlibat aktiviti bazar Ramadan, operasi perniagaan masih dibenarkan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan waktu operasi yang ditetapkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi berhubung tindakan Kerajaan Negeri dalam memastikan penjaja mencari rezeki di bazar Ramadan pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki, Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri akan menempatkan tong kitar semula minyak masak terpakai di 30 lokasi bazar Ramadan pada tahun ini.

“Ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dan buat masa ini Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengikuti dengan meletakkan tong kitar semula di lokasi bazar terpilih,” katanya.


Pengarang :