Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura bernilai RM20,000 dalam majlis ramah mesra bersama jawatankuasa Masjid Baiturrahman Alam Sari di Garden Hall Welcome Centre, Hulu Langat pada 26 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Selangor sumbang dana tampung kos bina Masjid Baiturrahman Alam Sari

KAJANG, 26 MAC: Kerajaan Negeri menyumbang sejumlah dana bagi menampung kos pembinaan Masjid Baiturrahman Alam Sari dekat sini, yang bernilai RM25 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini kos membina masjid dua tingkat dan mampu memuatkan 6,000 jemaah itu kekurangan dana sebanyak RM10 juta.

“Kita akan bantu pengurusan mencukupkan kos memandangkan kutipan dari orang ramai masih berjalan. Jadi baki yang tidak cukup itu kita bantu secara berperingkat.

“Hari ini RM20,000 disumbangkan Pejabat Menteri Besar sebagai bantuan tambahan kepada mereka mendapatkan dana,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama jawatankuasa masjid hari ini.

Dalam majlis sama, pengurusan masjid turut menerima sumbangan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar berjumlah RM15,000, Jabatan Agama Islam Selangor (RM10,000) dan Jeffa Development Sdn Bhd (RM10,000).

Amirudin berkata Selangor memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi membantu kira-kira 10 masjid sama ada untuk pembinaan baharu atau tambahan bangunan.

“Kerajaan Selangor ada formula dalam membantu rumah ibadat ini. Yang pertama menanggung penuh kos pembinaan, kedua kerjasama dengan kariah dan ketiga membantu masjid dibina pihak persendirian atau syarikat.

“Ini menjadi keutamaan dan perhatian kita kerana masjid bukan hanya tempat beribadah sebaliknya memainkan peranan besar dan menjadi pusat sumber kepada masyarakat,” katanya.


Pengarang :