EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 18 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selvax: 12,604 individu lengkap vaksin belum terima sijil vaksinasi

SHAH ALAM, 18 MAC: Seramai 12,604 individu yang lengkap menerima dua dos vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) masih belum menerima sijil vaksinasi MySejahtera.

EXCO kesihatan awam, Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu diperoleh dari pangkalan data Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sehingga 14 Mac yang lalu.

Katanya jumlah 12,604 itu adalah 1.84 peratus daripada keseluruhan jumlah yang sudah menerima sijil berkenaan iaitu seramai 664,354 individu atau 97.24 peratus.

“Bagi penerima yang masih belum mendapat sijil, individu terbabit boleh berhubung melalui contact support di aplikasi SELangkah yang mempunyai akses terus dgn MySejahtera Helpdesk,” katanya.

Siti Mariah berkata demikian pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Katanya antara faktor yang menyebabkan kelewatan itu adalah disebabkan perbezaan maklumat dalam dokumen pengenalan seperti nombor kad pengenalan atau nombor telefon yang digunakan ketika mendaftar dengan SELangkah dan MySejahtera.

“Berkenaan isu caj yang dikenakan bagi setiap sijil MySejahtera untuk penerima Selvax, satu perbincangan lanjut akan diadakan di antara pemilik aplikasi MySejahtera dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor bagi memperhalusi perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin mengenai kelewatan menerima sijil vaksinasi dan juga caj yang dikenakan bagi setiap sijil tersebut.


Pengarang :