Orang awam berjalan melintasi Johor dan Singapura ketika kedua-dua negara memperketatkan kemasukan ke negara masing-masing ekoran Covid-19 pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka 1 April, tidak perlu kuarantin

SHAH ALAM, 24 MAC: Pengembara yang lengkap suntikan vaksin dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin mulai 1 April.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan mereka juga tidak perlu membuat saringan Covid-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

“(Keputusan) ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata pengembara yang melalui sempadan udara Malaysia-Singapura pula hanya perlu melakukan ujian Covid-19 dua hari sebelum berlepas dan tidak perlu menjalani kuarantin.

Sementara itu, bagi sempadan Malaysia-Thailand, Khairy berkata hanya dua pintu sempadan darat dipersetujui untuk dibuka iaitu Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

“Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja manakala bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.

“Buat masa ini, protokol am pengembara umum terpakai ke atas pengembara dari Thailand,” katanya.


Pengarang :