Sebuah pesawat penumpang Boeing 777 membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFP
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Sepang makin maju, pembangunan imbangi alam sekitar

Bersempadan dengan Hulu Langat, Sepang membangun pesat saban tahun hingga berjaya mengubah statusnya menjadi sebahagian pusat pentadbiran negara.

Dari litar antarabangsa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), daerah itu gah mencipta nama di mata dunia tanpa mengabaikan aspek kehijauan.

Selain mengejar status sebagai bandar raya, Sepang turut menyasar untuk mencapai 40 peratus kawasan rendah karbon menjelang 2030 termasuk di Cyberjaya.

Wartawan SHEEDA FATHIL mengupas lanjut perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bersama Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain di pejabat Media Selangor Sdn Bhd.

Pernah mentadbir Ampang sebelum ini, bagaimana pula pengalaman Dato’ mengendalikan Sepang?

Saya mula berkhidmat di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai pegawai tadbir dari 1992 hingga 1997 kemudian Kerajaan Negeri melantik saya sebagai setiausaha Majlis Daerah Sepang mulai 1997 hingga 2002. Pada 2002, saya dipindahkan semula ke MPAJ sebagai timbalan yang dipertua (YDP) sebelum dilantik sebagai YDP pada 2015. Saya dipindahkan semula ke MPSepang dan dilantik sebagai YDP dari September 2020 hingga kini.

Bagi saya apabila kita dalam PBT semua lebih kurang sama sahaja kerana kita menggunakan akta dan undang-undang kecil yang lebih kurang sama. Cuma pengalaman saya ketika berada di Ampang Jaya, di sana lebih kepada lot pembangunan bersebelahan perumahan. Justeru, apabila mahu meluluskan sesuatu projek bangunan sudah tentu penduduk sekitar akan mengemukakan bantahan, luahan dan sebagainya. Manakala di Sepang pula ia merupakan kawasan pembangunan baharu bermula dari hutan, pertanian, penduduk daripada tidak ada kini sudah ramai malahan ada KLIA, Cyberjaya dan pelbagai kemajuan.

Seperti di Ampang Jaya, infrastrukturnya sudah ada dan boleh dikatakan ‘matured township’ cuma daripada aspek perparitan, jalan kita mungkin perlu melihat semula saiznya. Di Sepang, banyak perlu diteliti misalnya persediaan infrastruktur, perparitan dan sistem jalinan jalan raya supaya pembangunan lebih teratur, tersusun serta tidak mendatangkan masalah pada masa akan datang. Begitu juga dengan sistem telekomunikasi di Sepang, ia perlu dipertingkat cuma yang ada kelebihan sedikit di kawasan Cyberjaya kerana ia projek kebanggaan atau tersenarai dalam projek utama negara, maka kemudahan infrastruktur kemudahan jalan raya, elektrik di situ agak lebih stabil.

Apakah cabaran dan kelebihan berada di kawasan PBT yang merangkumi pusat pentadbiran negara?

Di Sepang ada KLIA projek mega negara dan cabarannya apabila wujud pelabur dari luar, mereka mahu kelulusan atau pertimbangan segera bagi memulakan perniagaan di sini, itu antara yang perlu diteliti dengan kadar segera. Cabaran lain pula mengenai tanah pertanian iaitu apabila pemilik tanah menjualnya tanpa kemudahan infrastruktur, sedangkan mereka sepatutnya mengemukakan kebenaran merancang, pencawang elektrik dan pelbagai kemudahan. Tetapi itu melibatkan kos dan menyukarkan mereka, justeru jalan paling mudah ialah menjual tanah itu dengan harga murah kemudian dibiarkan pembeli baharu untuk mengatasi masalah ketiadaan infrastruktur. Pada ketika ini, kita cuba minimumkan masalah itu dan minta pemilik tanah juga bantu menyelaraskan perkara ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain bercakap kepada Media Selangor dalam wawancara khas di Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 7 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI

Sepang bertukar status ke perbandaran pada 2005, apakah antara dasar lama yang masih diteruskan?

Daripada daerah ke perbandaran, undang-undang kecil masih sama cuma mungkin sekarang kita melihat semua majlis perbandaran di Selangor ada keseragaman atau penambahbaikan seperti dilaksanakan Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Di MPSepang, kita mempunyai Rancangan Tempatan iaitu perlu ada ketetapan di mana kawasan yang boleh dibangunkan sebagai industri, kediaman atau komersial. Kita turut sediakan kemudahan seperti dewan, pasar dan gerai serta menambah jumlahnya selaras status perbandaran.

Bagaimana usaha untuk menaik taraf status sebagai bandar raya?

Ciri-ciri bandar raya itu sudah ada antaranya pendapatan melebihi sasaran RM100 juta dan Sepang mencatatkan RM197 setahun. Selain itu, kita ada 10 universiti swasta dan kerajaan manakala Cyberjaya ada tujuh. Sepang juga bersebelahan Putrajaya, tidak jauh dari Kuala Lumpur dan ada jaringan yang baik seperti KLIA yang merupakan pintu masuk negara. Namun, masih banyak lagi kawasan belum dibangunkan dan infrastruktur tidak teratur selain jumlah penduduk tidak mencukupi iaitu sekitar 300,000 orang setakat ini berbanding kriteria ditetapkan 500,000 ke atas. Untuk mendapat taraf bandar raya juga perlu ada kelulusan daripada Kerajaan Negeri dan persekutuan yang mengambil masa lama. Justeru, kita sasar mungkin kurang lima tahun Sepang dinaik taraf sebagai bandar raya.

Apa pula usaha untuk pembangunan baharu di Sepang?

Sebagai sebuah daerah membangun, kita sedang berusaha mencapai sasaran 40 peratus rendah karbon menjelang 2030 dan ia sedang giat dilaksanakan terutama di Cyberjaya manakala di Sepang kita pasang solar panel di atas bumbung. MPSepang turut bekerjasama dengan salah sebuah syarikat untuk menaik taraf lampu jalan daripada biasa kepada diod pemancar cahaya (LED). Pada pertengahan tahun ini kita mahu membina Taman Kucing di Taman Tasik Cyberjaya seluas satu ekar dengan kerjasama klinik veterinar dan NGO untuk mengumpulkan kucing terbiar. Konsepnya terbuka, siapa datang ke situ boleh beri makan dan membelai kucing.

Selain itu, MPSepang turut menggalakkan pertanian bandar di mana penduduk bercucuk tanam dan menggunakan sumber itu sebagai makanan harian. Kaedah ini dapat menjimatkan perbelanjaan sekali gus menyokong inisiatif hijau. Penduduk yang berjaya menanam, menjaga dan mengekalkan keindahan kebun itu akan menerima insentif serta anugerah kebun komuniti. Kita juga akan menaik taraf pusat membeli-belah Street Mall sebagai destinasi tarikan makanan tempatan. Pelbagai jenis menu akan diketengahkan seperti nasi ambeng, mi kari dan rojak bagi menarik lebih ramai pengunjung menikmati juadah Malaysia. Kita juga akan membuka kedai cenderamata di situ. Konsepnya berbumbung satu tingkat, Street Mall beroperasi Ogos ini dengan kos baik pulih sebanyak RM3 juta. MPSepang juga dalam perancangan untuk menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan sebulan sekali setiap Sabtu hujung bulan di Bandar Baru Salak Tinggi.

Apakah antara keunikan dan kelebihan Sepang?

Antara keunikan Sepang ialah bandar teknologi Cyberjaya, KLIA, Pantai Bagan Lalang dan
agropelancongan seperti Kampung Banghuris, ladang buah naga dan ladang nenas serta pelbagai pembangunan perumahan seperti Bandar Serenia. Kita juga dalam perancangan untuk membangunkan pelbagai projek pesisir pantai di Sepang Gold Coast. Buat masa ini sedang mencari pelabur, sudah lama rancang tetapi terhalang disebabkan Covid-19. Kita akan mulakan projek ini secepat mungkin.

Apakah usaha bagi memulihkan alam sekitar termasuk isu penghakisan pantai?

Pantai di Bagan Lalang agak terhakis yang mungkin disebabkan faktor fizikal lautan itu sendiri. Oleh itu, MPSepang bersama Sepang Goldcoast mengambil inisiatif untuk menangani masalah itu. Kita turut bekerjasama dengan Jabatan Perhutananan dan badan bukan kerajaan untuk menanam pokok bakau atau pelbagai jenis pokok yang boleh tumbuh di pantai bagi mengatasi masalah hakisan.

Pantai Bagan Lalang di Sepang menjadi tumpuan ramai untuk beriadah selain pengunjung boleh berjalan ke tengah laut untuk melihat anak ketam berkeliaran atas pasir. Foto ihsan Tourism Selangor

Bagaimanakah Sepang mengekalkan keindahan agropelancongan dan perancangan bagi menarik pengunjung?

Banyak sektor agropelancongan di daerah ini yang menjadi daya tarikan orang ramai seperti inap desa Banghuris. Pengunjung boleh membuat pelbagai aktiviti antaranya melihat proses penghasilan kerepek dan menikmati makanan tradisional di Restoran D’ Rebung seperti nasi ambeng dan rebung.
Sepang turut terkenal dengan penanaman pokok buah naga selain kebun nenas MD2 di Sungai Merak dan Bandar Baru Salak Tinggi yang membolehkan pengunjung memetik dan makan terus buah di situ.

Di Cyberjaya pula kita sedang usahakan untuk membina sungai buatan bagi menelusuri dan menangkap ikan di situ. Manakala sepanjang laluan sungai itu saya bercadang untuk menanam pokok buah-buahan tempatan seperti durian, manggis, duku, langsat dalam dusun seluas tujuh ekar. Kerja sedang dibuat, mungkin siap tengah tahun ini dan bercadang menamakannya sebagai Dusun Bandar Cyberjaya.

Menyentuh isu banjir tahun lalu, bagaimana MPSepang membantu mangsa ketika itu?

Keadaan banjir di Sepang mungkin tidak seteruk kawasan lain dengan 9,000 keluarga terjejas, justeru MPSepang menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa. Kita turut menyediakan lebih 300 anggota penguat kuasa bagi mengawal, menyelamat dan mengagihkan makanan. Untuk pascabanjir pula kita bantu KDEB Waste Management menguruskan sampah dan kawasan perumahan, sekolah serta beberapa premis lain.

Ada rancangan membaik pulih infrastruktur atau kaedah menangani banjir di Sepang?

Kerosakan akibat banjir di Sepang tidak banyak dan kita sudah membaik pulih infrastruktur terjejas dengan peruntukan kira-kira RM500,000. Banjir di Sepang berpunca daripada limpahan air Sungai Langat, justeru Jabatan Pengairan dan Saliran sedang melebarkan sungai sekitar Dengkil. Kita juga merancang untuk meletak alat amaran banjir di kawasan berisiko dan ia sedang diteliti.

Apakah usaha bagi menjayakan program negeri kepada rakyat terkesan pandemik terutama berhubung lesen penjaja?

Di Sepang ada lebih 3,000 penjaja berlesen dan tidak berlesen. Buat masa ini, kita masih beri kelonggaran bagi mereka yang berada di tempat bersesuaian untuk meneruskan perniagaan. Pada masa sama, kita juga sedang menaik taraf atau menyediakan kemudahan kepada mereka. Setakat ini, hampir 2,000 lesen penjaja sementara dikeluarkan MPSepang.

Apakah perancangan untuk Ramadan dan Aidilfitri selain memastikan SOP tidak terjejas?

MPSepang menyediakan 12 lokasi bazar Ramadan membabitkan 500 petak niaga dan hampir 80 peratus petak sudah disewa. Seandainya ada keperluan, kita akan tambah petak. Berhubung tatacara operasi piawai (SOP), kita menggunakan SOP sedia ada yang digariskan Majlis Keselamatan Negara. Manakala bagi bazar Aidilfitri, hanya 50 petak disediakan di Bandar Baru Salak Tinggi kerana Sepang kurang dapat permohonan daripada peniaga untuk buka bazar tersebut.


Pengarang :