Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping memberi penerangan mengenai Sekolah Digital Selangor pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Universiti Selangor dan The Hive Asia Tenggara di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Sidec: 200 pelajar pertama Sekolah Digital Selangor mula pengajian Ogos ini

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 200 individu bakal menjadi kumpulan pelajar pertama Sekolah Digital Selangor (SDS) yang akan memulakan pengajian pada Ogos ini.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata jumlah pengambilan itu kekal untuk tempoh tiga tahun sebelum diperluas kepada 400 pelajar.

“SDS tawarkan kursus jangka pendek selama tiga bulan, diploma dan ijazah sarjana muda. Kos pengajian adalah antara RM3,500 hingga RM35,000 dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional turut disediakan.

“Permohonan ini dibuka kepada pekerja yang mahu meningkatkan kemahiran mereka selain mahasiwa yang ingin menceburi industri pendigitalan,” kata Yong Kai Ping.

Beliau ditemui pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) penubuhan SDS antara Universiti Selangor (Unisel) dan The Hive Asia Tenggara.

Kai Ping berkata menerusi SDS, lebih ramai pekerja mahir berkaitan digital dapat dilahirkan sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“Ekonomi digital semakin pesat dan negara memerlukan kira-kira 1.5 juta pekerja. Bagaimanapun ketika ini hanya ada 50 peratus individu berkemahiran,” katanya.

Pada Belanjawan Selangor 2022, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan SDS sebagai platform pembelajaran digital dan teknologi bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Penjana Nasional dijangka memberi pelaburan sepadan dengan Kerajaan Selangor dan The Hive, selain turut menawarkan tenaga pengajar, pembinaan sistem pembelajaran hibrid terkini serta pemasaran digital yang lebih kondusif.


Pengarang :