Dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan bawah Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian. Foto ihsan Kumpulan Semesta Sdn Bhd
AGENDANASIONAL

Sistem pengurusan pintar negeri kesan, baiki jalan rosak lebih pantas

SHAH ALAM, 10 MAC: Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor dilancar Rabu depan bagi memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan raya rosak dengan lebih pantas.

Sistem dibangunkan Selgem Sdn Bhd (Selgem) mengaplikasikan penggunaan kamera pintar di papan pemuka kenderaan, kamera 360, dron dan teknologi cerapan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Hasil cerapan dan analisa data diintegrasi dalam web yang kemudian dipancar terus ke pusat kawalan Selgem yang menjadi salah satu elemen penting dalam sistem itu,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Jelas syarikat itu, aplikasi tersebut juga mampu digunakan secara meluas oleh pelbagai agensi sekali gus mewujudkan keseragaman operasi bagi pengurusan jalan di Selangor.

Pelancaran sistem oleh anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd itu dijadual berlangsung di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri dan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata penggunaan dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan negeri bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian.

Beliau berkata sistem itu membolehkan maklumat kerosakan seperti lubang, tarikh pembaikan dan tempoh luput dikenal pasti untuk tindakan susulan dengan kos penyelenggaraan mencecah RM1 bilion.

Penggunaan sistem pintar aset jalan raya yang dilengkapi perisian maklumat geografi bagi mengatasi isu berkaitan jalan raya antara perkara ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2022.

 


Pengarang :