Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik perasmian Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor sambil disaksikan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kiri) serta Pengerusi Selgem Sdn Bhd Mohamad Zahri Samingon (kanan) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sistem pengurusan pintar pantau, urus aset jalan negeri lebih efisien

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Selangor menggunakan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar bagi memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan raya rosak dengan lebih pantas dan efisien.

Sistem yang menyokong aplikasi pelaporan jalan berlubang (IRS) yang diwujudkan Smart Selangor Delivery Unit sebelum ini turut memudahkan orang ramai membuat aduan secara bergambar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ia juga membantu agensi kerajaan menganalisis keadaan aset jalan raya yang terkesan susulan bah besar Disember tahun lalu.

“Melalui sistem ini, pengguna bukan sahaja boleh membuat aduan mengenai kualiti jalan dan bentuk muka bumi tetapi aksesori lain seperti lampu, lampu isyarat dan pembahagi jalan.

“Sistem ini sangat berkesan, sebab itu kita minta digabungkan dengan IRS yang mana sebelum ini memberi peluang pelaporan kepada awam dalam sistem Waze,” katanya selepas melancarkan sistem itu hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ditemui di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini, Amirudin menambah kaedah pelaporan aduan akan diperluas ke media sosial menggunakan tanda pagar khas.

Beliau turut memaklumkan sistem itu diguna pakai di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) selewat-lewatnya Jun tahun ini bagi menyeragam penyelenggaraan aset dan jalan raya.

“Kita lihat perjalanannya, mungkin pertengahan tahun ini kita akan mula menggabungkan sistem ini dengan semua PBT, ketika ini masih lagi dengan Jabatan Kerja Raya Selangor,” katanya.

Teknologi dibangunkan Selgem Sdn Bhd (Selgem) melalui tenaga pakar tempatan pada awal 2021 menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengesanan dan perluasan cahaya (LiDAR).

Turut dilengkapi dron pintar dan kamera 360, ia merangkumi proses pengecaman kerosakan jalan seperti lubang secara automatik, pendigitalan aliran kerja dan aduan.


Pengarang :