Dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan bawah Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian. Foto ihsan Kumpulan Semesta Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sistem pengurusan pintar percepat kesan jalan rosak, atasi isu lambat baiki

SHAH ALAM, 16 MAC: Pembangunan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar diyakini memendekkan tempoh pengesanan kerosakan dan pembaikan jalan raya di negeri ini.

Pengerusi Selgem Sdn Bhd (Selgem) Mohamad Zahri Samingon berkata perisian pemantauan jalan yang sedang diguna pakai Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri menggabungkan teknologi cerapan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Kita merupakan syarikat berasaskan digital, jadi inisiatif digital Selgem ini berhasrat memperkasa rakyat dan negeri dalam semua aspek kehidupan selaras visi Smart Selangor 2025.

“Diharap sistem pemantauan ini dapat menangani secara lebih berkesan isu-isu yang sering dibangkitkan seperti kelewatan pelaksanaan projek atau masalah perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran sistem berkenaan di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Mohamad Zahri mengakui berdepan kekangan sepanjang proses pembangunan sistem berkenaan berikutan ia perlu diintegrasi dengan beberapa sistem sedia ada daripada jabatan lain.

Menurutnya, kepakaran tenaga mahir tempatan ke arah menjayakan perisian berasaskan AI juga agak sukar terutama semasa pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, sistem ini dapat dilaksana dan diintegrasi sepenuhnya bersama rakan-rakan teknologi serta teknikal tempatan dalam tempoh enam bulan sejak dimulakan awal tahun lepas,” katanya menambah kos pelaksanaan awal sistem itu ditanggung syarikat konsesi JKR Selangor.

Sistem mengaplikasikan penggunaan kamera pintar di papan pemuka kenderaan, kamera 360 dan teknologi cerapan AI berperanan memantau, mengenal pasti serta membaiki jalan raya rosak dengan lebih pantas.

Hasil cerapan dan analisa data diintegrasi dalam web sebelum dipancar terus ke pusat kawalan Selgem.


Pengarang :