Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 600 di Bestari Jaya, Kuala Selangor menerusi tinjauan SelangorKini pada 23 Februari 2022 berperanan mengurangkan kebergantungan kepada sumber air mentah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Skim Jaminan Air Mentah kaedah atasi gangguan bekalan air

Inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi bagi menampung keperluan orang ramai meskipun berlaku pencemaran dalam tempoh panjang.

Selangorkini mendapatkan jawapan bertulis daripada Exco Insfrastruktur Ir Izham Hashim yang mengupas kepentingan dan kaedah pelaksanaan SJAM sempena Hari Air Sedunia baru-baru ini.

Apakah kepentingan SJAM dan bentuk jaminan kepada orang ramai dalam isu bekalan air?

SJAM merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dan Sungai Langat. Selangor ada banyak industri di sepanjang Sungai Selangor dan Sungai Langat dan ada antaranya dengan sengaja atau tidak sengaja menyumbang kepada pencemaran sumber air. Kerajaan Negeri berpandangan, untuk memindahkan industri yang lama bertapak itu ke tempat lain akan melibatkan pelbagai isu perundangan, ekonomi, sosial dan politik.

Ir Izham Hashim bercakap kepada Media Selangor selepas meninjau rumah pam di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 17 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Justeru, Kerajaan Negeri membangunkan infrastruktur yang boleh digunakan dalam mengatasi henti tugas loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran sekali gus infrastruktur tersebut turut berfungsi semasa musim kemarau. Pembinaan tersebut melibatkan kos dianggar hampir RM300 juta, dibiayai menggunakan dana Kerajaan Negeri.

Untuk mengatasi isu pencemaran air, ia bukanlah semata-mata tanggungjawab Kerajaan Negeri sebaliknya semua pengguna hendaklah bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan sumber air mentah bagi memastikan tiada gangguan ke atas perkhidmatan bekalan air kepada penguna.

Sejauh manakah pencapaian SJAM dan bagaimana inisiatif berkenaan membantu mengatasi masalah pencemaran air?

SJAM melibatkan tindakan merangkumi penyelesaian dari hulu sungai (upstream) hingga ke hilir sungai (downstream) seperti berikut:

– pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999
– pemantauan skuad Pantas LUAS
– pelaksanaan projek perintis rawatan biologikal/’bio-remediation’ bagi memulihara kualiti air Sungai Gong
– pelaksanaan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Horas 600 di Sungai Selangor dan kolam takungan (Pond C) di Sungai Semenyih

Melalui pindaan enakmen, kajian semula perundangan dan peraturan kemasukan atau pelepasan bahan pencemar dibuat bagi aktiviti pencemaran. Jumlah denda dan kompaun disemak supaya jumlah dan tindakan perundangan lebih digeruni pihak tidak bertanggungjawab. Kini, LUAS dalam peringkat kajian semula enakmen merangkumi:

– menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi beban maksimum harian (total maximum daily load) di kawasan yang ditetapkan
– melaksanakan kajian kebolehlaksanaan ‘zero discharge’ dan amalan kitar semula efluen pada masa depan
(Cadangan pindaan diluluskan di dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada November 2020).

Pemantauan LUAS pula dilaksanakan melalui skuad Pantas yang membuat kawalan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di lembangan sungai utama yang membekal air ke LRA. Stesen telemetri kualiti air juga dibangunkan bagi tujuan sistem amaran awal di hulu muka sauk yang berisiko, dengan pemasangan peralatan penganalisis ‘total organic carbon’ (TOC).

Pensampelan pemantauan statik dibuat setiap dua jam manakala pensampelan pemantauan rondaan setiap empat jam. Sekiranya berlaku pencemaran, tindakan segera diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor. Semenjak skuad Pantas dilaksanakan, pencemaran sungai dapat dikekang awal sebelum ia sampai ke LRA.

Kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memantau paras air di kolam Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 600 dari bilik kawalan pada 23 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pelaksanaan projek rintis melibatkan penggunaan teknologi nano mampu merawat sungai tercemar. Sejauh manakah kesannya terhadap sumber air Sungai Gong, Rawang?

Projek perintis rawatan biologikal/’bio-remediation’ dilaksanakan bagi memulihara kualiti air Sungai Gong. Projek perintis kolam tebatan banjir Sungai Gong melibatkan kerja naik taraf dan penyelenggaraan kolam di Sungai Gong secara kontra (hasil pasir) serta pelaksanaan projek ‘bio-remediation’ oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama NUAIM Corporation (M) Sdn Bhd. Anggaran kos bagi tempoh satu tahun sebanyak RM2.49 juta.

Projek itu melibatkan penambahbaikan kualiti air Sungai Gong melalui kombinasi pendekatan biologi seperti meletakkan bahan nanoteknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti sistem rawatan air mentah (RWTS).

Objektif projek perintis ‘bio-remediation’ ini adalah menjalankan kajian awal ke atas sifat fizikal, kimia dan biologi sumber air mentah Sungai Gong, melaksanakan RWTS di kolam tebatan dan menyelesaikan isu minyak, bahan kimia dan bau di kolam tebatan banjir Sungai Gong.

Pelaksanaan projek di kolam Sungai Gong itu akan diperluas di Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah tertakluk kepada status tanah dan “kebolehlaksanaan projek”.

NUAIM telah memulakan kerja rawatan awal pada 16 November 2020 dengan kaedah ‘dosing’ (nano-nutrient and microbial formulation) sepanjang tiga kilometer Sungai Gong dan empat lokasi takungan kecil pertemuan saliran ke sungai itu.

Kualiti air di Sungai Gong bertambah baik, dari kelas tiga berubah kepada kelas dua. Kerajaan Negeri dalam pertimbangan untuk meluaskan penggunaan rawatan meliputi Sungai Sembah dan Sungai Semenyih.

Projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Horas 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih juga dilaksanakan.

Apakah perkembangan prasarana pengepaman terus dari kolam takungan Sungai Selangor yang memberi jaminan bekalan walaupun kemarau panjang dan pencemaran lebih lima hari?

Bagi kerja pembinaan prasarana pengepaman terus dari kolam takungan Sungai Selangor, ia melibatkan kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman ‘Archimedean Pump’ dan kerja berkaitan di kolam Horas 600 Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor, muka sauk LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor dan muka sauk LRA Ssp 1, 2 & 3 Bestari Jaya, Kuala Selangor. Pada ketika ini, kerja awalan di tapak sudah bermula dan dijangka siap pada akhir Disember 2022.

Bagaimanakah kerjasama masyarakat dalam membendung pencemaran sumber air, tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata?

Pelaksanaan pemantauan lembangan sungai dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri melalui LUAS secara 24 jam bagi memastikan sumber air dalam keadaan terpelihara. Pemerkasaan komuniti termasuk penglibatan pemain industri melalui beberapa program kesedaran seperti program Sahabat Sungai atau Friends of River yang diurusetiakan LUAS telah memberi pendedahan awal melalui penglibatan secara langsung pemuliharaan dan perlindungan terhadap sumber air. Dalam hubungan ini, rakyat Selangor akan lebih cakna jika berlaku pencemaran sumber air.

Pekerja NUAIM Corporation (M) Sdn Bhd membancuh campuran bahan biologi iaitu nanoteknologi Aquaritin untuk disiram ke Sungai Gong bagi memulihara kualiti air daripada tercemar pada 23 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Di manakah lokasi penempatan sistem amaran awal pencemaran sungai menggunakan teknologi ‘total organic carbon (TOC) analyser’?

Objektif utama pembangunan stesen telemetri kualiti air sebagai sistem amaran awal sekiranya berlaku insiden pencemaran air sungai di hulu muka sauk LRA.

Stesen telemetri ditempatkan di kawasan 50 meter di dalam rizab sungai yang dilengkapi tiga komponen utama iaitu instrumen pengukuran, ‘data logger’ untuk merekod bacaan ‘real-time’ di tapak secara berterusan dan kemudahan bekalan kuasa serta jaringan komunikasi bagi penghantaran data ke server pemantauan LUAS.

Lokasi penempatan stesen telemetri baru dapat menganalisis indeks kualiti air (IKA) secara dalam talian dan dilengkapi dengan parameter ‘total organic carbon’ (TOC) bagi membantu memberi indikator mengesan kandungan ‘organic compound’ yang menyumbang kepada pencemaran bau dalam air mentah di empat lokasi yang dikenal pasti kritikal sama ada pembangunan atau industri yang pesat di sub lembangan berkaitan.

Anggaran tempoh masa amaran awal antara dua hingga 11 jam sebelum muka sauk utama Sungai Selangor dan tiga jam hingga enam jam sebelum muka sauk LRA Sungai Semenyih seperti perincian berikut:

– stesen Sungai Sembah (anggaran dua jam)
– stesen Sungai Gong (anggaran 11 jam)
– stesen Sungai Semenyih selepas ‘confluence’ Sungai Beranang (anggaran tiga jam)
– stesen Sungai Semenyih (anggaran enam jam)

LUAS juga dalam proses perolehan bagi ‘portable multiparameter UV Analyzer’ di mana peralatan ini boleh menganalisis parameter TOC secara ‘in-situ’. Ini membantu mengenal pasti punca pencemaran dengan segera ketika siasatan ke atas insiden pencemaran. LUAS juga mengguna pakai peralatan pemantauan kualiti air secara ‘in-situ’ bagi parameter-parameter utama kualiti air seperti pH, dissolved oxygen (DO), biochemical oxygen demand (BOD), chemical oxygen demand (COD), ammoniacal nitrogen (AN) dan parameter lain dalam memastikan status semasa kualiti air.

Berapakah masa yang diambil skuad Pantas untuk bertindak terhadap aduan pencemaran dan bagaimana ia membantu mengelakkan gangguan bekalan air?

Skuad Pantas LUAS menjalankan pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama iaitu Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat sebelum memberi respons segera bagi aduan yang berpotensi menyebabkan gangguan kepada operasi LRA melalui platform WhatsApp Ops Sumber Air Negeri Selangor yang dianggotai agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah.

Siasatan punca pencemaran dan langkah kawalan serta mitigasi dilaksanakan segera dalam tempoh kurang empat jam selaras Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor secara bersepadu dengan agensi lain.

Sejauh manakah keberkesanan penggunaan dron berteknologi tinggi untuk menganalisis air, mengawasi kawasan, mengumpul bukti mahkamah?

Inisiatif penggunaan dron berteknologi tinggi digunakan LUAS dengan kepakaran pasukan ‘Unmanned Aerial Vehicle ‘(UAV) bagi meningkatkan sistem pemantauan di lembangan sungai dalam memastikan kawalan menyeluruh sumber air utama negeri. Penggunaan dron berteknologi tinggi ini digunakan melalui dua kaedah iaitu:

– pemantauan pasukan UAV secara berkala di kawasan risiko tinggi pencemaran yang dikenal pasti seperti kawasan di rizab sungai dan kawasan industri setiap tiga bulan. Sebarang perubahan atau kesan signifikan pencemaran akan diambil tindakan penguatkuasaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan
– pemantauan pasukan UAV bersama LUAS apabila berlaku pencemaran sumber air iaitu kod kuning (berisiko henti tugas LRA) atau kod merah (henti tugas LRA) bagi pengesanan awal potensi pencemaran dapat dilakukan terutama bagi kawasan yang akses terhad. Ia juga boleh beroperasi pada waktu malam dan dapat mengesan sebarang perubahan fizikal efluen yang masuk ke dalam sumber air. Laporan dan maklumat diperoleh kurang empat jam untuk tindakan lanjut, tertakluk kepada jenis pencemaran.

Anggota Skuad Pasukan Tindak Segera (Pantas) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menguji tahap kualiti air sungai di tapak lapangan pada 23 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Setakat ini, berapa langkah penguatkuasaan undang-undang sudah dilaksanakan menerusi SJAM?

LUAS telah menyediakan manual prosedur perlindungan dan ganjaran kepada pemberi maklumat bawah Seksyen 104 Enakmen LUAS 1999 bagi memberi perlindungan dan ganjaran kepada pemberi maklumat untuk menggalakkan penyertaan orang awam menyalur aduan dan maklumat berkaitan aktiviti yang menjejaskan sumber air.

Penentuan ganjaran berdasarkan jenis kesalahan yang disiasat LUAS dan kesalahan tersebut dibuktikan melalui tindakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah kepada pelaku kesalahan. Masih tiada kes yang dibawa ke mahkamah bagi kesalahan bawah seksyen 79 enakmen LUAS yang memperuntuk denda minimum RM200,000 hingga maksimum RM1 juta.

LUAS akan membuka kertas siasatan untuk pendakwaan sekiranya kesalahan berkaitan pencemaran disiasat dan mengumpulkan bukti kukuh bagi membuat pertuduhan di mahkamah.


Pengarang :