AGENDANASIONAL

SKMM sekat 1.6 bilion panggilan meragukan sejak 2018 hingga tahun lalu

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pelbagai pihak menyekat sejumlah 1.6 bilion panggilan meragukan daripada sampai kepada pengguna sejak 2018 hingga tahun lepas.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan sejumlah 2,232 aduan awam berkaitan aktiviti berunsur penipuan diterima SKMM dan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi tempoh Januari hingga 31 Disember 2021.

“Polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia adalah antara agensi penguatkuasaan yang dirujuk untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa masing-masing,” menurut jawapan itu.

KKMM memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengenai statistik laporan palsu atau ‘scam’ setakat 2021 dan perancangan kementerian untuk memastikan panggilan telefon seumpama itu dapat dipantau selain dikesan dengan usaha sama syarikat-syarikat telekomunikasi.

KKMM memberitahu pihak penyedia perkhidmatan komunikasi turut terlibat dalam satu pasukan petugas khas bagi penipuan telekomunikasi untuk mengekang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selain itu, SKMM juga mewujudkan dokumen Rujukan Industri yang menggariskan tujuh peraturan sekatan pada 2018 bagi mengurangkan jumlah panggilan yang meragukan serta penambahan lima peraturan sekatan pada 2020 bagi mengekang panggilan sampai kepada pengguna.

“SKMM juga sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan baharu bagi mengekang penipuan melalui SMS,” menurut KKMM.

– BERNAMA


Pengarang :