Jemaah melakukan penjarakan fizikal ketika menunaikan solat tarawih di Masjid Sultan Abdul Samad, Kampung Sungai Raba, Banting pada 12 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Solat tarawih 20 rakaat di semua masjid, surau di Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan solat Tarawih dilaksana dengan 20 rakaat sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan solat tersebut diadakan di seluruh masjid, surau dan musolla sepanjang bulan puasa.

“Semua aktiviti lain melibatkan pusat ibadah serta aktiviti sepanjang Ramadan di seluruh Selangor juga boleh dilaksanakan seperti biasa.

“Keputusan baginda bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid, surau dan musolla terus berfungsi,” kata Dato’ Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jemaah perlu mengikuti beberapa ketetapan seperti berikut:

1. Hanya individu lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.

2. Individu berusia bawah 18 tahun dan lengkap terima dua dos vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.

3. Perlu membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka.

4. Individu bergejala diminta menangguhkan hadir ke sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga kembali pulih.


Pengarang :