Pelajar mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam pada 2 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SPM 2021 sesi kedua dilaksana 5 April hingga 19 Mei

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dilaksanakan bermula 5 April hingga 19 Mei.

Peperiksaan sesi kedua itu merangkumi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini memaklumkan peperiksaan SPM 2021 sesi kedua itu dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki ujian-ujian berkenaan yang dijalankan pada 8 Februari hingga 29 Mac.

“Calon-calon terlibat adalah yang disahkan positif Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarah oleh Kementerian Kesihatan, calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

“Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua untuk menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April 2022,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan semua maklumat berkenaan boleh diakses melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

Jadual waktu peperiksaan SPM 2021 sesi kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung juga boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my mulai 1 April ini.

Kementerian itu turut mengingatkan calon membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.

– BERNAMA


Pengarang :