Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) pada sidang media selepas proses penamaan calon pilihanraya negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 26 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR: Kempen PRN Johor dibenarkan sehingga 12 tengah malam

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Ceramah, syarahan dan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini boleh diadakan hingga pukul 12 tengah malam.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini, pindaan tatacara operasi piawai (SOP) itu berkuat kuasa serta-merta dan dibuat berdasarkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain melanjutkan waktu berkempen, SPR turut membenarkan penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.

Namun, jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta menghadiri kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang dan tidak boleh diadakan di premis yang terbuka atau di tempat awam.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan COVID-19 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, SPR menetapkan ceramah, syarahan dan kempen pada PRN Johor hanya boleh diadakan hingga 10 malam.

-BERNAMA


Pengarang :