Pasukan berbasikal Selangor giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 di Johor pada 2020 sebelum ia ditangguhkan akibat penularan Covid-19. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Sukma XX, MSN 2022 dianjur hujung September

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, akhirnya bakal dianjurkan bermula 29 September hingga 8 Oktober tahun ini di sekitar Lembah Klang.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini menyatakan, edisi kali ini yang dikenali sebagai ‘SUKMA XX, MSN 2022’ akan mempertandingkan 31 jenis sukan, iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan, selain dua sukan demonstrasi – silambam dan kabaddi.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada hari ini turut bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang telah dipersetujui sebelumnya, bagi edisi kali ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan itu berkata penganjuran edisi kali ini oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi MSN, telah disokong dan diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Feb lepas.

“Ia demi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten, agar negara tidak ketandusan atlet yang bakal jadi pengganti untuk bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah akhir acara yang bakal dipertandingkan tertakluk kepada jumlah penyertaan minimum lapan negeri untuk setiap sukan dan acara, dan ia akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukma dalam masa terdekat.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju agar Sukan Para SUKMA XX, MSN 2022 dilangsungkan daripada 29 Oktober hingga 6 November ini.

Sukma Ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor bermula 6 hingga 14 Mac 2020 telah ditunda beberapa kali susulan pandemik, sebelum diputuskan untuk dianjurkan MSN di Lembah Klang.

Berikutan itu, beberapa pihak meminta penganjur supaya meningkatkan had umur edisi kali ini kepada 23 tahun berbanding 21 tahun ke bawah, kerana atlet sudah mula membuat persediaan sejak sebelum pandemik.

Johor bagaimanapun akan menganjurkan temasya berkenaan pada 2024.

– BERNAMA


Pengarang :