Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat Makmal Invasif Kardiologi Hospital Serdang pada 28 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sultan gembira usaha naik taraf, bina hospital baharu di Selangor

SHAH ALAM, 28 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa puas hati dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya untuk membangun hospital baharu serta menaik taraf hospital sedia ada di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menzahirkan ucapan terima kasih dengan penambahan fasiliti kesihatan seperti hospital baharu di Sepang dan Kapar serta menaik taraf hospital di Banting, Kajang dan Kuala Selangor.

Titah baginda, meskipun Selangor mempunyai rangkaian hospital swasta namun fasiliti kesihatan kerajaan sangat diperlukan untuk manfaat golongan miskin dan sederhana di bandar dengan jangkaan penduduk negeri mencapai tujuh juta orang.

“Baginda juga memuji usaha-usaha KKM mewujudkan hospital-hospital pakar yang memfokuskan penyakit-penyakit kritikal seperti jantung di Makmal Invasif Kardiologi (ICL) Hospital Serdang,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Selangor hari ini.

Sultan Selangor berharap pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat mengurangkan kerenah birokrasi atau ‘red tape’ khususnya dalam aspek pengeluaran tender pembinaan fasiliti kesihatan.

“Ini supaya tiada kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek membabitkan kelangsungan penjagaan kesihatan rakyat Selangor,” menurut kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan meluangkan masa hampir dua jam melawat ICL Hospital Serdang dengan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Turut mengiringi baginda Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

ICL merupakan pusat rujukan utama bagi perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik kebangsaan di sini serta aktif dalam memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit serangan jantung dengan mempelopori rangkaian ST-elevation myocardial infarction (STEMI).


Pengarang :