Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan harap akses rumah mampu milik kepada B40 diperluas

SHAH ALAM, 14 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap usaha memperluas akses perumahan mampu milik diteruskan khasnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kemudahan itu boleh diberikan melalui kaedah pembiayaan yang bersesuaian dengan pendapatan golongan terbabit.

“Besar harapan Beta agar Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor dengan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’ dapat diadakan.

“Ini bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga berpeluang memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Sebanyak 49 projek meliputi 84,192 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) diluluskan dalam Belanjawan Selangor 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka direkod sehingga 31 Ogos 2021 itu melebihi sasaran Kerajaan Negeri untuk membina 30,000 unit menjelang 2023.

Menurutnya, sebanyak RM10.77 juta turut diperuntuk bawah Tabung Amanah Rumah Mampu Milik bagi tempoh 2021 hingga 2024 untuk memberi peluang kepada peneroka bandar membeli unit tersebut sebelum dijadikan Skim S2-OWN.


Pengarang :