Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan yang dilanda banjir di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan hargai petugas agensi kerajaan, sukarelawan bantu mangsa bah

SHAH ALAM, 14 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menghargai lebih 20,000 petugas hadapan pelbagai agensi kerajaan yang membantu sepanjang operasi banjir Disember tahun lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mobilisasi petugas membolehkan operasi menyelamat dan pembersihan pascabencana dibuat segera untuk memastikan rakyat terjejas meneruskan kehidupan.

“Tidak dilupakan juga penghargaan kepada lebih 50,000 sukarelawan yang turut membantu semasa kejadian tersebut, khususnya Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (Serve) yang menggerakkan operasi pembersihan pascabanjir di semua lokasi terkesan,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menghadiri Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Titah Sultan Selangor, Kerajaan Negeri juga proaktif menyalurkan sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit berjumlah RM106 juta selain 772 projek pemulihan infrastruktur bernilai RM519.42 juta.

Pada masa sama, Baginda bertitah dua pendekatan harus dititikberatkan dalam menangani perubahan iklim iaitu aspek mitigasi bagi mengurangkan aktiviti pelepasan Gas Rumah Hijau dan adaptasi.

“Adaptasi pula merangkumi pelbagai tindakan yang membantu masyarakat dan ekosistem untuk berdepan perubahan iklim dengan kedua-duanya perlu dibuat secara menyeluruh dan seimbang,” titah Baginda.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan individu membantu melibatkan sumbangan makanan, wang ringgit serta tenaga kerja.

Kerajaan Negeri turut menyediakan dana RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.


Pengarang :