Projek ECRL di Selangor bakal melalui jajaran utara melibatkan Gombak ke Serendah dan Pelabuhan Klang. Foto Facebook MHE Civil Works
AGENDANASIONAL

Sultan mahu projek ECRL, MRT3 dipantau, elak bencana kepada rakyat

SHAH ALAM, 14 MAC: Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di negeri ini tidak boleh menimbulkan kesan atau bencana yang teruk hingga rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj bertitah pembangunan projek harus teratur dan pihak yang menguruskan perlu memantau dan mengawalnya.

“Penelitian sebaik mungkin perlu dilakukan terhadap dua projek ini dengan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya kesan terhadap impak sosial dan alam sekitar yang perlu dipelihara serta tidak menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang.

“Oleh itu suka Beta ingatkan supaya pihak terlibat sama ada peringkat kerajaan persekutuan mahupun Kerajaan Negeri perlu memastikan kerja-kerja dijalankan dengan teratur serta disempurnakan dengan baik,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Pada 2 Disember tahun lalu Dato’ Menteri Besar memaklumkan pihaknya bersetuju menerima cadangan kerajaan persekutuan berhubung laluan projek ECRL melalui jajaran utara.

Bagaimanapun  Dato’ Seri Amirudin Shari  berharap projek itu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain antaranya penempatan kampung tradisi serta Orang Asli.

Projek MRT3 pula melibatkan jajaran 40 kilometer dan aliran pusingan yang melalui kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi.


Pengarang :