Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli melawat Makmal Invasif Kardiologi Hospital Serdang hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan lawat Makmal Invasif Kardiologi Hospital Serdang

SERDANG, 28 MAC: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan berangkat melawat Makmal Invasif Kardiologi (ICL) yang menjadi pusat rujukan utama bagi perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik kebangsaan, di sini.

Baginda tiba di Hospital Serdang yang menempatkan makmal berkenaan pada 10 pagi dan meluangkan masa hampir satu setengah jam di fasiliti berkenaan yang beroperasi sejak 2016.

Turut mengiringi lawatan sulung baginda ke hospital itu ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

ICL juga aktif dalam memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit serangan jantung dengan mempelopori rangkaian ST-elevation myocardial infarction (STEMI).

Makmal berkenaan juga telah menjalankan lebih 50,000 prosedur invasif jantung termasuk angiogram dan angioplasti, implantasi perentak jantung, prosedur elektrofisiologi dan prosedur penyakit struktur jantung.

Sultan Sharafuddin turut diberi sembah taklimat mengenai pembangunan fasiliti kesihatan negeri Selangor yang disampaikan Khairy.

– BERNAMA


Pengarang :