Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan titah perkasa latihan teknikal, negeri peneraju lahir pekerja mahir

SHAH ALAM, 14 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan dengan langkah menjadikan sektor pendidikan sebagai satu daripada agenda utama negeri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah inisiatif perlu dilaksanakan secara kerjasama merentas fahaman politik, agama dan bangsa.

“Bantuan pendidikan, biasiswa dan pinjaman sedia ada khususnya untuk anak Selangor wajar diteruskan dan diperkasa melibatkan penglibatan jabatan, agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) juga perlu diperluaskan supaya Selangor menjadi negeri peneraju melahirkan pekerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri berteknologi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM78 juta diperuntukkan setiap tahun bagi menjayakan program pendidikan demi hala tuju masa depan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Selain itu Kerajaan Negeri turut memperuntuk sebanyak RM9 juta menerusi pinjaman boleh ubah yang dikhaskan kepada anak Selangor melanjutkan pelajaran tahun ini.


Pengarang :