EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim berucap dalam sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 17 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Taman agro seluas 50 ekar dibangun, jadi pusat hasil benih tanaman

SHAH ALAM, 17 MAC: Taman Agro Smart Selangor bakal dibangunkan di Bukit Changgang, Kuala Langat membabitkan keluasan 50 ekar, kata EXCO pemodenan dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata 30 ekar daripada projek pembangunan yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) merangkumi pusat benih manakala selebihnya hab nurseri.

Beliau menjelaskan ketika ini perbadanan terbabit sedang mengurus lantikan kontraktor bagi kerja pembersihan kawasan dan infrastruktur asas.

“Seramai 69 pengusaha nurseri sedia ada dari Sungai Buloh dijangka dapat memasuki kawasan ini pada pertengahan Ogos ini.

“Manakala peserta agropreneur yang terpilih untuk mengusahakan pusat benih dijangka memulakan projek pada akhir November tahun ini,” katanya pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif tersebut dirangka khusus bagi menjamin keselamatan bekalan makanan negeri selain memberi peluang sumber ekonomi kepada golongan muda.

Menurutnya seramai 30 agropreneur baharu mampu diwujudkan melalui pelbagai bidang perniagaan seperti penanam, pemasar, pengendali logistik dan peniaga jualan secara terus hasil tanaman segar.

“Projek tanaman yang akan dibangunkan seperti melon, jagung dan betik selain beberapa jenis tanaman dengan sasaran utama pendapatan peserta sebanyak RM3,000 sebulan.

“Benih-benih tanaman ini juga menggunakan nama Selangor sendiri dan akan disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin,” katanya.


Pengarang :