Anggota penyelamat dari pelbagai agensi bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2 Ampang pada 11 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Anggota bomba ambil risiko selamatkan mangsa tertimbus

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan Indah mengambil risiko dengan tidak meninggalkan satu-satunya mangsa terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 meskipun berdepan gelombang ketiga runtuhan tanah ketika melakukan operasi menyelamat, Khamis lepas.

Menceritakan detik cemas berkenaan, Ketua Zon 4 Hulu Langat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Shahrin Isma Mat Yusof berkata sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihaknya menjalankan analisis risiko di lokasi.

Ketua Zon 4 Hulu Langat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Shahrin Isma Mat Yusof (tengah) bercakap pada sesi temu ramah bersama media pada 12 Mac 2022 mengenai situasi menyelamatkan mangsa pada kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2 Ampang baru-baru ini. Turut sama Ketua Operasi Pasukan Ameran Mura (kanan) dan Anggota Bomba Muhammad Zalwi Ghazali (kiri). Foto BERNAMA

Katanya, semasa membuat analisis risiko berkenaan, anggota bomba menemukan seorang mangsa pertama lelaki warga emas, 85, yang masih hidup namun terperangkap di antara dinding rumah dan peti sejuk yang dihempap bongkah batu.

“Pada masa itu, keutamaan kami adalah mahu mengeluarkan mangsa berkenaan dan ketika operasi mengeluarkan mangsa dijalankan tiba-tiba berlaku (runtuhan tanah) gelombang ketiga.

“Walaupun berlaku gelombang ketiga, anggota yang bertugas mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan mangsa walaupun mengetahui bahaya yang boleh menimpa mereka,” katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, di sini.

Shahrin Isma berkata mereka bernasib baik apabila gelombang ketiga runtuhan tanah berkenaan tidak mendatangkan impak besar di lokasi kejadian.

“Kami berjaya mengeluarkan mangsa pertama dalam tempoh 30 minit sebelum meneruskan operasi mencari mangsa kedua yang juga isteri kepada lelaki terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Pasukan Ameran Mura berkata pihaknya masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap dengan memotong jeriji sebelum menjumpai lelaki itu tersepit dengan badannya dihimpit pintu peti sejuk manakala dadanya rapat ke dinding.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menenangkan waris yang membuat pengecaman mayat korban kedua mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2. Foto BERNAMA

“Ketika itu, kami dengar mangsa cakap “tolong saya, bantu saya” berulang kali dan saya minta anggota untuk berkomunikasi dengannya dan memaklumkan bantuan telah sampai. Kami cuba menenangkan mangsa dan memastikan dia sentiasa dalam keadaan sedar, kami perlu tahu kecederaan apa dialaminya,” katanya.

Beliau berkata melalui maklumat diperoleh daripada mangsa terbabit, pihak bomba mengetahui ada seorang lagi mangsa yang berada di dalam rumah itu.

“Oleh yang demikian, ini memudahkan pihak kami melakukan proses pengesanan mangsa berkenaan,” katanya.

Seorang lagi anggota bomba, Muhamad Zalwi Ghazali berkata dia bersama dua lagi anggota ditugaskan untuk mengangkat peti sejuk seberat 100 kilogram bagi mengeluarkan mangsa pertama yang tersepit.

“Kami sedaya-upaya menyelamatkan mangsa secara manual dengan mengetuk bongkah batu yang menghimpit peti sejuk berkenaan,” katanya.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

– BERNAMA


Pengarang :