Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Tanah runtuh: Cadang negeri kerjasama dengan pakar, wujud pelan pulih cerun

SHAH ALAM, 16 MAC : Wakil rakyat Balakong mencadangkan Kerajaan Negeri segera bekerjasama dengan pakar untuk menghasilkan satu pelan tindakan membaik pulih cerun.

Wong Siew Ki berkata tindakan itu perlu bagi mengelak kejadian tanah runtuh bertambah serius seperti yang berlaku di Ampang Jaya baru-baru ini sehingga meragut empat nyawa.

“Masalah tanah runtuh boleh dijangka dan dielak sekiranya kita mengambil langkah berjaga-jaga. Justeru, saya berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan pakar untuk menghasilkan satu pelan tindakan baik pulih cerun.

“Perkara ini sepatutnya menjadi fokus utama Kerajaan Selangor bermula dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Pada masa sama, Siew Ki turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Perbandaran Kajang kerana mengambil tindakan proaktif menaik taraf beberapa cerun yang bahaya bagi mengelak tanah runtuh.

“Bagaimanapun, saya rasa kuasa dan sumber kewangan yang diperoleh PBT masih tidak cukup dan menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh yang serius masih berlaku,” katanya.

Sebelum ini, baginda bertitah Kerajaan Negeri perlu memberi penekanan yang besar kepada isu banjir dan pemulihan infrastruktur iaitu soal keselamatan dan keselesaan seluruh warga Selangor.


Pengarang :