Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Tanah runtuh: Penghuni 48 rumah diarah pindah, lokasi kejadian belum selamat

AMPANG JAYA, 11 MAC : Kerajaan Negeri mengarahkan penghuni 48 rumah yang terlibat dengan kejadian insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, segera mengosongkan kediaman masing-masing.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka diminta berpindah sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hari sementara pihak berkuasa memantau kemungkinan berlaku lagi pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari pihak Jabatan Kerja Raya dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) akan meneliti keadaan lokasi kejadian dalam tempoh tersebut sama ada selamat untuk diduduki atau sebaliknya.

“Kita ada 48 rumah di empat lorong yang perlu dikosongkan terlebih dahulu, Insya-Allah dalam tempoh maksimum lima hari kita boleh tahu kawasan ini selamat atau tidak dan penduduk boleh balik atau belum.

“Justeru, saya berharap penduduk dapat segera mengosongkan rumah dan kita mohon penduduk jangan bimbang kerana pihak polis akan melakukan pemantauan 24 jam di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi insiden tanah runtuh di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan pihak berkuasa akan melakukan pemantauan di kawasan tersebut dan segala maklumat akan dimaklum dari semasa ke semasa.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.


Pengarang :