Keadaan tanah runtuh di Jalan Teratai 1/2J Taman Bukit Permai, Ampang petang tadi. Foto Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia)
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh Taman Bukit Permai: Dua selamat dibawa keluar, tiga masih dicari

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini hari ini yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan manakala mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata setakat ini masih terdapat tiga lagi mangsa yang tertimbus dan kerja-kerja mencari sedang dijalankan.

“Mangsa pertama berusia 84 tahun dan mangsa kedua yang telah ditemui sebentar tadi dipercayai merupakan pasangan suami isteri.

Kerja mencari kini sedang dijalankan bagi mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti,” katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati pasukan penyelamat terdiri daripada pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Rakyat sedang sibuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang masih belum ditemukan.

Sebanyak dua jentera dengan anjing pengesan digunakan dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

– BERNAMA

 


Pengarang :