Pengurus Kanan Pendidikan Yayasan Selangor Zahura Zakry (duduk dua, kanan) bergambar bersama tiga pelajar cemerlang PT3 yang terpilih meneruskan pembelajaran tingkatan empat di Kolej Yayasan Saad Melaka bagi sesi tahun ini. Foto ihsan Yayasan Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tiga pelajar cemerlang PT3 jadi perintis Bitara Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 22 MAC: Tiga pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) terpilih sebagai perintis program Bitara Yayasan Selangor (Bitara) untuk ditempatkan di Kolej Yayasan Saad Melaka.

Pengurus Kanan Pendidikan Yayasan Selangor (YS) Zahura Zakry memaklumkan dua daripada mereka ditaja penuh yayasan berkenaan manakala seorang lagi dibiayai bersama kolej terbabit.

Jelasnya, tajaan meliputi yuran, penginapan dan makanan, pengaturcaraan komputer, seni dan rekaan, sukan dan permainan, muzik, seni persembahan dan program kepimpinan, wang saku serta peranti.

“Murid akan menduduki peperiksaan Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah ketika tingkatan lima dan perlu memperoleh sekurang-kurangnya purata nilai gred 3.0 dalam setiap peperiksaan untuk kekal ditaja,” katanya dalam kenyataan.

Pelajar berkenaan ialah Faiz Saian dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah Klang, Ayra Danisha RIzal Edwan RIzal (SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur) dan Nur Syaznani Riana Khairulnizam (SMK Jalan Empat, Bangi).

Zahura berkata Bitara diperkenal bagi meneruskan agenda transformasi pasca 50 tahun penubuhan yayasan berkenaan selain menjadi nilai tambah Rancangan Khas Pendidikan YS sejak 1971.

Menurutnya, murid cemerlang berpeluang meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan suasana pembelajaran lebih kondusif dan prasarana efektif seterusnya membantu membangunkan jati diri.

“Objektif Bitara untuk melahirkan murid cemerlang, berfikiran global dan kompetitif yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia.

“Ia juga sebagai pengiktirafan dan ganjaran kepada murid tajaan YS yang cemerlang untuk menikmati kemudahan lebih baik di sekolah ternama di samping melonjak pencapaian,” katanya.


Pengarang :