Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tingkat taraf ekonomi B40, perluas akses milikan rumah

Berikut sebahagian titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima pada 14 Mac.

Bahagian 1: Kutipan hasil lepasi sasaran, Sultan hargai usaha jabatan negeri

Industri pelancongan merupakan sektor yang paling terkesan dengan impak pandemik Covid-19. Pemulihan industri ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera dengan memperkenalkan aktiviti pelancongan dengan norma baharu. Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Beta telah merangka pelan tindakan pemulihan berkonsepkan Safe Travel atau Safe Tourism yang memberi penekanan kepada aspek keselamatan, transformasi digitalisasi, kemampanan, serta kelangsungan perniagaan dan perkhidmatan di seluruh ekosistem pelancongan di negeri Selangor. Adalah diharapkan ia dapat menjamin kelangsungan industri pelancongan negeri serta menjadikan Selangor kembali sebagai destinasi pelancongan terpilih di Malaysia dan di peringkat global.

Pengurusan kesihatan awam yang menyeluruh, berpatutan dan efektif berasaskan teknologi digitalisasi menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat dan kelangsungan ekonomi negeri Selangor. Bagi tujuan ini, Kerajaan Beta telah memperuntukkan sejumlah RM65 juta bagi pengurusan kesihatan secara keseluruhan bagi tahun 2022.

Kehidupan pasca pandemik Covid-19 masih menuntut aspek kesihatan dijadikan sebagai keutamaan. Beta mengucapkan tahniah kepada rakyat negeri ini yang telah memberi komitmen yang tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan awam di mana lebih 90 peratus rakyat Negeri Selangor telahpun mengambil sekurang-kurangnya dua dos vaksin Covid-19. Namun, Beta ingin menasihati rakyat beta agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan walaupun negara kini sedang membuat persediaan untuk beralih ke fasa endemik.

Di samping usaha imunisasi yang telah digerakkan secara menyeluruh oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dan juga usaha Kerajaan Beta melalui program Selvax Industri, Selvax Komuniti, Selvax Mobile, Selvax Remaja, dan yang terkini Selvax Booster, suka untuk Beta mengingatkan agar seluruh rakyat terus mengamalkan aktiviti gaya hidup sihat sebagai usaha pencegahan kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain.

Seorang remaja menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Selvax Komuniti di Klinik Selcare, Seksyen 13 Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beta juga ingin menyeru agar semua rakyat mengambil peluang melakukan saringan kesihatan melalui program Saring Selangor yang bakal diadakan di seluruh negeri.

Beta berkenan dengan inisiatif Kerajaan Beta yang telah menjalankan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan atau peningkatan pendapatan golongan B40 menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan yang dijalankan. Jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM2.19 juta dengan jumlah penerima manfaat seramai 529 orang. Kerajaan Negeri juga turut akan membantu membawa usahawan-usahawan kecil ini menjalinkan usahasama dan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat. Langkah ini adalah bagi memastikan produk dan perniagaan mereka dapat diperkasakan melalui pasaran yang lebih luas.

Beta juga berkenan dengan inisiatif penambahbaikan ke atas program sedia ada di mana Kerajaan Beta akan melaksanakan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menyasarkan sebanyak 30,000 keluarga di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM108 juta. Penambahbaikan yang dilaksanakan adalah pemberian bantuan daripada RM200 kepada RM300 setiap bulan. Program Bingkas juga menjadi semakin maju dengan perubahan daripada penggunaan kad pintar kepada penggunaan e-dompet melalui aplikasi SELangkah bagi tujuan transaksi penyaluran dan pembayaran.

Beta turut berkenan apabila sektor pendidikan di Selangor terus dijadikan salah satu daripada agenda utama Kerajaan Negeri. Inisiatif di bawah sektor pendidikan perlu dilaksanakan secara kerjasama merentas fahaman politik, agama dan bangsa. Bantuan pendidikan, biasiswa dan pinjaman sedia ada khususnya untuk anak negeri Selangor wajar diteruskan dan diperkasakan dengan penglibatan jabatan, agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri. Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) juga perlu diperluaskan agar Selangor menjadi negeri peneraju dalam melahirkan warga kerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.

Kemampuan B40 memiliki rumah agak terhad dan lebih menjurus kepada penyewaan rumah. Foto SELANGORKINI

Selain daripada itu, Beta turut berharap Kerajaan Negeri meneruskan usaha memperluaskan lagi akses kepada perumahan mampu milik kepada rakyat beta terutamanya kepada golongan B40 melalui kaedah pembiayaan bersesuaian dengan pendapatan mereka. Besar harapan Beta agar Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor dengan matlamat “Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna” dapat diadakan bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga berpeluang memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat.

Bagi tujuan penambahbaikan pengurusan bencana negeri, Beta ingin memberi penekanan kepada beberapa perkara supaya keupayaan sedia ada dapat dipertingkatkan untuk berhadapan dengan sebarang bencana dalam keadaan siap sedia yang lebih baik.

Penggunaan pusat kawalan Smart Selangor C5i Operations Centre (SSOC) sebagai pusat kawalan dan perintah utama untuk pengurusan bencana harus diperkasa dan diperluaskan lagi keupayaannya.

Ini termasuk penggunaan lebih banyak teknologi kawal perintah dan pemantauan secara automatik dan mengembangkan penggunaan infrastruktur digital ini ke setiap Pejabat Daerah dan Tanah di negeri Selangor agar operasi mencari dan menyelamat, menyelaras pusat pemindahan sementara, penghantaran bantuan makanan dan pakaian dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan teratur.

Penggunaan infrastruktur digital Selangor Gigabit Network (SeGNet) dan Smart Selangor Hybrid Cloud Data Centre (SSDC) yang sudah dibangunkan dengan baik, harus diupayakan untuk semua agensi kerajaan, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan. Ini penting untuk memastikan penyaluran data yang lebih cepat dan berkesan. Kerajaan Negeri seharusnya mendepani penggunaan teknologi digital untuk ramalan ini agar operasi Pengurusan Bencana Pintar dapat diwujudkan dengan kadar segera bagi menjamin kedudukan Selangor sebagai ‘pusat pembanguna ekonomi tahan uji bagi Malaysia’ pada masa akan datang.

Beta ingin menasihatkan Kerajaan Negeri agar memberi penekanan yang lebih serius terhadap usaha-usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku di negeri Beta ini.

Ini termasuk menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang yang merangkumi kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai, memastikan sistem perparitan yang baik dan terurus, serta membina kunci air (floodgate) di lokasi-lokasi penting yang mengambilkira kadar taburan hujan dan jadual pasang surut air laut.

Kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenal pasti segera termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara. Sepatutnya, sejak berlaku tragedi banjir besar di negeri Selangor pada 1971, kita telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir. Apatah lagi, dengan jumlah penduduk yang kini mencecah lebih 6.5 juta orang terutama kawasan-kawasan yang sangat padat penduduknya (density), Kerajaan Negeri harus mempunyai perancangan masa hadapan yang lebih efektif supaya rakyat Negeri Selangor tidak lagi merana dan terbeban dengan masalah banjir.

Sukarelawan Yayasan Tzu Chi berganding bahu membersihkan lumpur di kawasan rumah mangsa banjir Taman Sri Muda, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto Yayasan Tzu Chi Malaysia

Dalam melaksanakan usaha-usaha ini, Beta juga mahu pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, agensi-agensi dan jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Negeri lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan bencana banjir.

Setiap tindakan dan respons perlu diambil dengan cepat dan pantas tanpa berlengah kerana ia membabitkan nyawa dan kerugian harta benda rakyat. Beta juga berharap agar setiap projek mengatasi banjir seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh agar ia berkesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengelakkan bencana banjir yang lebih buruk daripada berlaku.

Ingin Beta tegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang merupakan salah satu cara yang paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada rakyat supaya tidak melakukan pencemaran dan pencerobohan tanah di tepi-tepi sungai di negeri ini. Beta mengharapkan Kerajaan Negeri dapat mengukuhkan lagi tindakan penguatkuasaan khususnya terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai yang menjadi punca utama kepada berlakunya bencana banjir. Beta juga berharap rakyat Beta memainkan peranan masing-masing untuk memastikan sistem perparitan dan sungai di penempatan masing-masing tidak tersumbat dan sentiasa bersih serta berada dalam keadaan baik. Elakkan daripada kegiatan membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan kualiti air dan banjir kilat.

Beta sedih dan dukacita apabila melihat kesan-kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat. Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban.

Dalam hal ini Beta berharap kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri mengenepikan perbezaan fahaman politik dan dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang supaya rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Di sini, Beta mengambil kesempatan untuk mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat di negeri Selangor ini agar menumpukan usaha dan tanggungjawab yang diberikan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing seterusnya dapat membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Beta tidak mahu wakil rakyat menghabiskan masa dengan berpolitik untuk kepentingan parti masing-masing sahaja sehingga mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk membela nasib rakyat. Janganlah asyik berpolitik siang dan malam untuk kepentingan diri masing-masing.

Mengakhiri titah, Beta berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat berbahas dengan berhemah, memberi topik perbahasan yang bernas dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang tepat demi kesejahteraan rakyat yang Beta kasihi. Beta berdoa semoga negeri Selangor dan seluruh rakyat
Beta sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta mengucapkan selamat bersidang, terima kasih.

Sekian.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Pengarang :