UKM dan Universiti Oxford bekerjasama dalam kajian mengenai masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

UKM, Universiti Oxford terajui kajian obesiti, penyakit tidak berjangkit

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menerajui kajian pengimejan melalui ujian kepadatan tulang (DXA) berskala besar di peringkat antarabangsa melalui penyelidikan bersama University of Oxford, United Kingdom (UK), yang menyasarkan bidang kajian obesiti dan penyakit tidak berjangkit.

Penyelidikan bertajuk Obesiti dan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia itu, diketuai Prof Sarah Lewington dari Nuffield Department of Population Health, University of Oxford dan Prof Madya Dr Nor Azian Abdul Murad, dari Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI).

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata tiada kajian pengimejan melalui DXA mahupun Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) berskala besar di Malaysia setakat ini untuk pengukuran langsung lemak badan, bagi membolehkan penyelidik memahami hubungan antara komposisi badan dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung.

“UMBI akan melakukan 6,000 pengimejan DXA serta 100 pengimejan MRI dengan kerjasama Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan, UKM dan University of Westminster, UK bagi menilai komposisi badan dalam kalangan peserta yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata kolaborasi penyelidikan itu membolehkan perpindahan teknologi terutamanya kaedah analisis data, selain dapat memberi impak besar kepada sistem kesihatan di Malaysia terutamanya dalam pembangunan dan penggunaan Indeks Jisim Badan (BMI) baharu bersesuaian dengan populasi Asia khususnya penduduk Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :