Beberapa pengunjung tekun mendengar taklimat mengenai usahawan Hijrah Selangor pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Usahawan disiplin bayar pinjaman, permudah Hijrah bantu peminjam lain

SHAH ALAM, 5 MAC: Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menunjukkan disiplin bayaran balik pinjaman terutama sejak pengenalan kempen pemulihan kredit Jun tahun lalu.

Eksekutif Promosinya Muhammad Ihsan Mohammad Rosdi Kamal berkata bayaran semula itu membantu agensi menyalur pembiayaan kepada peniaga lain yang memerlukan modal untuk berniaga.

“Pelan pemulihan ditawar selepas menyedari ramai usahawan menghadapi masalah sepanjang tempoh pandemik. Kita lihat mereka agak konsisten membuat bayaran balik sama ada secara mingguan atau bulanan.

“Mereka hanya bayar separuh daripada jumlah sebenar sebelum ini. Jadi pelan ini tidak membebankan malah membantu memulihkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi perkongsian berkaitan perkhidmatan ditawarkan Hijrah sempena Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Eksekutif Promosi Yayasan Hijrah Selangor Muhammad Ihsan Mohammad Rosli Kamal bercakap kepada Media Selangor pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Muhammad Ihsan menyaran mana-mana usahawan negeri ini memanfaatkan skim dilaksanakan agensi bagi mengembangkan perniagaan.

“Kita mengakui beberapa skim pinjaman diperkenalkan mendapat sambutan luar jangka sehingga pegawai cawangan tidak menang tangan memproses permohonan.

“Jadi kepada mereka yang betul-betul berminat menjalankan perniagaan boleh menghubungi pejabat cawangan berdekatan atau layari laman sesawang www.hijrahselangor.com untuk maklumat lanjut,” katanya.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 26 November tahun lalu mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam skim pembiayaan Hijrah.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM120 juta untuk pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000.

Skim pembiayaan ditawarkan Hijrah antaranya i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.


Pengarang :