Vaksin Sinovac diluluskan untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Vaksin Sinovac diberi kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun mulai esok

PUTRAJAYA, 6 MAC: Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang tidak boleh menerima vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac oleh petugas kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula menawarkan vaksin CoronaVac di pusat pemberian vaksin (PPV) yang terpilih mulai esok (7 Mac).

Beliau berkata ibu bapa juga diberi pilihan untuk memberikan vaksin CoronaVac kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju untuk menggunakan vaksin Comirnaty.

Katanya ibu bapa dialu-alukan untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut daripada petugas kesihatan yang bertugas sekiranya terdapat pertanyaan.

“Vaksin CoronaVac hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir. Bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin CoronaVac dengan selang masa empat minggu perlu diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Azmi berkata ibu bapa boleh membawa anak mereka secara jumpa terus di PPV dengan menyemak senarai nama dan waktu operasi PPV yang menawarkan CoronaVac di laman web KKM serta PHCorp yang telah diumumkan sebelum ini.

Selain itu, ibu bapa yang mendaftarkan anak dalam aplikasi MySejahtera pula akan menerima pautan kepada tempahan janji temu vaksinasi anak-anak mereka.

Dr Noor Azmi berkata penawaran vaksin CoronaVac di PPV yang dikendalikan oleh KKM dan PHCorp di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) adalah percuma.

Katanya selain program PICKids, terdapat juga klinik dan hospital swasta yang menawarkan vaksin CoronaVac kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dengan bayaran.

Pada 3 Mac lepas, kerajaan meluluskan penggunaan vaksin CoronaVac untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menjadikan vaksin itu sebagai vaksin kedua yang diluluskan untuk golongan berkenaan.

Beliau berkata vaksin jenis Comirnaty formulari kanak-kanak telah diluluskan pada 6 Jan lepas bagi memastikan perlindungan optimum terhadap jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Ia merupakan vaksin yang diberi keutamaan dalam PICKids termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi seperti individu yang mempunyai imun rendah, penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, kencing manis, obesiti dan lain-lain.

Dr Noor Azmi berkata berdasarkan data COVIDNOW hingga semalam, jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunjukkan peningkatan ketara apabila 123,053 orang disahkan positif virus itu sejak Januari lepas.

Katanya terdapat juga kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU).

— BERNAMA

 


Pengarang :