BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wakil rakyat Kota Anggerik dekati anak muda, bina pustaka sebar ilmu

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi antara wakil rakyat muda dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang dipilih untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Meminati politik sejak di bangku sekolah, anak jati Shah Alam ini bergiat aktif dari peringkat akar umbi sebelum dicalonkan pada pilihan raya umum 2018.

Hampir sepenggal memegang mandat, pelbagai pembaikan dibuat Najwan termasuk mewujudkan perpustakaan komuniti di pejabatnya untuk kegunaan awam.

Wartawan SITI ROHAIZAH ZAINAL menemu bual pemimpin berusia 36 tahun ini bagi mengupas lanjut perjalanan karier politiknya dan usaha membantu rakyat.

Pengalaman YB sebelum bergelar wakil rakyat dan bagaimana terlibat dalam politik?

Saya merupakan penjawat awam iaitu timbalan pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan terlibat aktif dalam pentadbiran serta pembangunan anak muda, menjaga portfolio generasi berkaitan yang ketika itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai EXCO sukan. Saya juga pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir diplomatik selama dua tahun bermula 2009 di Kementerian Pengangkutan.

Penglibatan saya dalam politik bermula di bangku sekolah pada 1999 tetapi selaku pelajar ada keterbatasan dan tidak aktif. Saya mula menyertai KEADILAN secara rasmi pada 2010 sebagai anggota biasa seterusnya timbalan ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, kemudian ketua penerangan AMK Selangor. Saya juga dilantik pegawai khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berperanan sebagai penasihat ekonomi Selangor. Saya juga membantu selaku pegawai khas ekonomi. Selepas berkhidmat dengan Anwar, saya memutuskan untuk bergerak aktif dalam KEADILAN.

Mengapa bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik?

Saya buat kerja bersama parti pada 2016 dan bergiat aktif peringkat akar umbi untuk cabang KEADILAN Kelana Jaya. Saya juga lakukan kerja di DUN Seri Setia tetapi parti memutuskan saya bertanding di Kota Anggerik atas faktor anak tempatan iaitu lahir di Selangor dan membesar di Shah Alam. Ketika pilihan raya pada 2018, saya berdepan saingan tiga penjuru dan mendapat mandat warga Shah Alam untuk mewakili mereka di DUN berkenaan.

Pertama kali dicalonkan pada usia 33 tahun dalam PRU-14, pengalaman waktu bertanding menarik, teruja dan gementar kerana masih muda membuat keputusan untuk terjun dalam politik secara aktif. Selepas menjadi wakil rakyat, kehidupan banyak berubah kerana perlu lebihkan masa untuk masyarakat. Pada masa sama meneruskan tugasan selaku pelajar. Ketika itu, saya mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM). Malah, tempoh berkempen bertembung peperiksaan akhir dan terpaksa tangguhkan dua subjek untuk memberi tumpuan pada kempen pilihan raya. Saya mengambil peperiksaan selepas menang dan teruskan bagi menyiapkan tesis akhir. Alhamdulillah pada Oktober 2018, saya tamat pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan. Boleh dikatakan cabaran dalam tempoh awal menjadi ADN pengalaman cukup bermakna kerana perlu bijak membahagi masa sebagai wakil rakyat dan pelajar.

Bagaimanakah YB melihat DUN Kota Anggerik?

Sebagai wakil rakyat, tidak boleh dinafikan setiap kawasan ada masalah berbeza. Contoh di Kota Anggerik demografi kawasan bandar majoriti Melayu dan kelas pertengahan atasan. Masalah mereka bukan berkisah isu luar bandar seperti petani, baja dan subsidi. Di DUN ini, masalahnya macam mana hendak tangani isu perkhidmatan dan infrastruktur.

Najwan menerima sumbangan 5,973 naskhah buku daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya untuk bahan bacaan di Perpustakaan Komuniti PKM DUN Kota Anggerik pada 16 Februari.

Di Kota Anggerik, penduduknya mahukan perkhidmatan baik dari segi kemudahan jalan raya, kutipan sampah, pengangkutan awam dan jaringan internet serta peluang menjalankan perniagaan khusus penjaja kecil kerana Shah Alam adalah bandar raya dengan warganya aktif berniaga dan pentadbiran Selangor. Kebanyakan penduduk dan komuniti terdiri daripada penjawat awam dan profesional.

Jangkaan mereka lebih kepada wakil rakyat membantu memudah urusan mereka. Secara peribadi, masalah ini tidak begitu membebankan tetapi kena sentiasa pastikan urusan keperluan serta kebajikan mereka dijaga dari aspek kesejahteraan hidup. Contohnya kalau kutipan sampah perlu tepat masa selain jalan tiada lubang.

Apa antara tarikan atau kelebihan DUN Kota Anggerik?

Menariknya di Kota Anggerik, penduduknya seperti di kampung iaitu semangat mereka. Di kampung ada semangat muafakat, gotong-royong. Ia terdapat di sini. Walaupun bandar tetapi konsep kehidupan macam kampung, semangat itu masih ada. Sebagai wakil rakyat, saya selalu menyantuni mereka ketika program gotong-rotong serta aktiviti kemasyarakatan termasuk di surau dan masjid. Oleh itu, saya jadikan ia sebagai satu rutin untuk bersama penduduk. Malah, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setiap minggu bersama jemaah termasuk majlis berbuka puasa.

Ini uniknya di Kota Anggerik. Walau bandar tapi komunitinya seperti masyarakat kampung, kenal mengenali antara satu sama lain. Malah, pengerusi surau tahu rumah yang ada asnaf dan ibu tunggal, sekali gus urusan kerja sebagai wakil rakyat mudah. Oleh itu, saya dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Anggerik sentiasa pastikan hubungan baik dengan ketua komuniti, persatuan penduduk dan jawatankuasa surau.

Itu antara kekuatan dan keunikan di Kota Anggerik. Mudah berinteraksi dengan lokaliti selain terdapat kawan-kawan di sini yang mampu diselesaikan isu dengan segera, boleh terus disampaikan kepada pihak bertanggungjawab.

Bagaimana status anak tempatan membantu memudahkan peranan sebagai wakil rakyat?

Memang mudah urusan kerja apabila kita berasal daripada tempat diwakili kerana faham masalah dan keperluan rakyat. Fungsi dan peranan surau juga sudah tahu selok belok. Malah, lebih mudah dengan adanya telefon pintar dan berhubungan dengan pantas menerusi WhatsApps. Bagi saya, tiada sebab wakil rakyat tidak dapat berdampingi masyarakat kerana saluran komunikasi terbuka luas. Jika tidak dapat akses melalui telefon, boleh mesej di media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram.

Alasan wakil rakyat tidak dapat maklumat, bagi saya ia tidak boleh diterima sebab sekarang ini mustahil tidak tahu apa masalah berlaku dalam kawasan. Kita kena rajin, selalu pantau kumpulan WhatsApp persatuan penduduk. Saya akan pastikan diri sendiri ada dalam kumpulan Whatsapp penduduk atau wakil saya. Apabila terlibat di dalamnya, kita tahu masalah dan setiap maklumat sampai seterusnya dapat selesaikan dengan lebih berkesan.

Bagaimana YB melihat peranan persatuan penduduk dalam membantu?

Apabila menang sebagai ADN, visi saya adalah memperkasa dan memberdaya masyarakat. Persatuan penduduk, orang tidak nampak kekuatan dan bila pergi ke kawasan mereka tiada persatuan. Oleh demikian, saya sarankan penduduk bentuk persatuan supaya sebarang urusan melibatkan kepentingan mereka dapat lebih dibela. Jika sebaliknya, seseorang inidividu terpaksa membuat aduan sendiri, tidak berapa nampak keperluan. Contohnya seperti hendak tambah baik kemudahan, lebih senang kita bantu jika menerusi pastuan.

Saya juga galakkan mereka berdaftar supaya urusan sebagai wakil rakyat untuk beri peruntukan lebih telus dan wang tidak dibelanja sewenang-wenangnya. Fungsi persatuan dapat dikuatkan sekali gus mendidik mereka untuk faham bahawa Kerajaan Negeri menjamin dan angkat ketelusan dengan melalui proses dan peraturan yang betul. Setakat ini, hampir semua kejiranan di Kota Anggerik mempunyai persatuan terutama kawasan penduduk berpendapatan rendah (B40) kerana kelompok ini yang perlu dibela.

Najwan menyerahkan sumbangan baja kompos sebanyak satu tan sumbangan Kerajaan Negeri kepada kebun-kebun komuniti di sekitar DUN Kota Anggerik pada 19 Februari.

Apakah antara aduan yang banyak diterima?

Setakat ini, masalah banyak melibatkan rumah pangsa lama yang semakin lama semakin bertambah seperti di Seksyen 16, rumah pangsa terawal iaitu lebih 40 tahun. Masalah di situ berkaitan sistem saliran dan pendawaian. Jadi, saya berurusan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Isu lain pula seperti kutipan sampah dan jalan raya yang setakat ini semakin baik. Isu miskin bandar, mereka yang bergelut mencari kerja dan ramai anak muda menganggur. Sekarang kita berbincang bagaimana hendak selesaikan isu miskin bandar. Mereka mungkin duduk rumah besar tetapi satu rumah ada beberapa keluarga. Dari segi kehidupan, nampak tidak sesuai dan ini masalah serius di seluruh negara termasuk Kota Anggerik.

Bagaimana menyelesaikan aduan tersebut?

Sebagai permulaan, pihak saya beri galakan kepada anak muda yang mahu berniaga mengemukakan kertas kerja. Kita bantu dari segi modal. Hendak beri banyak ada kekangan tetapi cukup untuk kita salur bantuan awal sebagai permulaan modal. Contohnya baru-baru ini, ada anak muda pada waktu bekerja pendawaian dan malam menjual burger. Jadi, dia dibantu dengan modal untuk beli gerai dan kini mampu ambil orang bekerja dengannya. Maksudnya, kita tolong seorang individu, dia akan tolong orang lain dengan beri peluang pekerjaan.

Bagi isu kutipan sampah lewat, sekarang semakin baik. Bagi isu miskin bandar, saya bantu Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), ada skim Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE). Saya kenal pasti penduduk yang hendak meniaga kita uar-uarkan supaya mereka boleh buat pinjaman.

Boleh kongsikan perancangan untuk penduduk Kota Anggerik?

Sekarang ini saya berminat galakkan budaya ilmu dalam kalangan anak muda. Sebab itu di pejabat, saya buka perpustakaan komuniti di tingkat atas untuk kegunaan awam. Jika ibu bapa ada urusan sementara menunggu perkara itu selesai mereka boleh baca buku atau anak muda hendak buat tugasan tiada internet, kita ada jaringan internet untuk mereka selesaikan kerja. Kita juga sediakan kemudahan mesin pencetak bagi urusan mencetak dokumen perlu.

PKM DUN Kota Anggerik amal konsep terbuka dan boleh diakses orang ramai. Kita cuba meringankan beban mereka termasuk kebenaran menggunakan bilik untuk komuniti buat mesyuarat. Perancangan menjadikan pejabat Kota Anggerik sebagai perpustakaan bermula pada 2020 tetapi tergendala kerana penularan Covid-19 tetapi beroperasi sejak November tahun lalu. Setakat ini, kita terima sumbangan kira-kira 5,000 naskhah buku pelbagai kategori daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk daripada penduduk, selebriti dan tokoh politik. DUN Kota adalah pejabat wakil rakyat pertama memiliki perpustakaan komuniti.

YB turut menggalakkan penduduk wujudkan perpustakaan komuniti?

Saya juga galakkan persatuan penduduk. Kalau ada dewan tidak digunakan boleh tukar kepada perpustakaan supaya anak-anak dapat menggunakannya. Contohnya di Bukit Subang. Selain itu baru-baru ini, menerusi Pesta Buku Selangor saya peruntuk RM4,000 nilai baucar buku untuk agih kepada penduduk bagi menggalakkan budaya membaca. Pemberian baucar itu boleh digunakan untuk membeli buku. Saya hendak membudayakan semula ilmu supaya Shah Alam bukan sekadar bandar orang berniaga tetapi bandar ilmu untuk anak muda.

Sejauh manakah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu golongan B40?

IPR sangat membantu dan berharap ia dapat dipelbagaikan lagi supaya intipati insentif itu memberi impak kepada masyarakat. Contohnya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dinaik taraf supaya beli keperluan rumah dan skim sihat. Saya rasa skim-skim ini boleh diperluas dengan disasar terus kepada penerima. Kena ada proses untuk kenal pasti agar bantuan dan skim itu diterima pihak yang layak. Setakat ini, saya rasa di Selangor semuanya sangat membantu.

Berapa ramaikah penerima IPR di DUN Kota Anggerik?

Di sini, golongan B40 ramai juga tetapi agak seimbang. Bilangan pengundi sebelum ini 52,000 dan terbaharu berjumlah 88,959 orang, berlaku peningkatan. Di sini kelas ekonomi pertengahan atas dan majoriti Melayu. Tidak begitu susah tetapi tidak semuanya senang.

Bagaimana YB melihat isu Covid-19 dan banjir yang melanda Selangor?

Kedua-dua isu ini cabaran terbesar yang perlu ditangani sepanjang menjadi wakil rakyat dan mendewasakan saya terutama ketika PKP. Saya nampak dengan jelas apa yang berlaku di bawah terutama kesusahan rakyat. Sepanjang PKP saya masuk ke kawasan untuk hantar bantuan kerana semua terkesan dan kekurangan makanan. Semua tempat dihantar bantuan. Hampir 5,000 kotak bantuan disalur selain bakul makanan dan wang ringgit. Saya juga ADN pertama yang menjalankan ujian saringan Covid-19 dengan harga subsidi. Ini antara inisiatif selain mengagih bantuan makanan.

Najwan menyampaikan sumbangan untuk tajaan jamuan makan malam kepada pengerusi jawatankuasa Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Dato’ Zakaria Yusuf.

Untuk banjir pula, tidak begitu ramai terjejas. Tetapi antara kawasan terlibat ialah Pangsapuri Perdana, Seksyen 13; Taman Mutiara Bukit Raja 2 dan sedikit di Setia Alam. Alhamdulillah, kita turun dan gerakkan bantuan termasuk mencuci rumah mangsa. Ini antara usaha PKM untuk meringankan beban mereka.

Bagaimana penambahan pengundi terutama anak muda?

Pengundi muda adalah kelompok yang susah dibaca. Kita tidak tahu pendirian politik mereka selain agak fleksibel. Di Selangor, belum banyak lagi ikhtiar untuk tarik golongan ini. Kerajaan Negeri perlu segera bertindak. Isu berkaitan mereka yang bukan generasi lama yang tengok dan kesannya tetapi anak muda kini hendak tahu parti politik atau kerajaan mana boleh jaga kepentingan dan beri mereka peluang pekerjaan dan perniagaan.

Di Selangor, Kerajaan Negeri aktif beri bantuan tetapi sejauh mana hendak gandakan penglibatan anak muda dan tarik mereka sebab insentif banyak diberi untuk ibu tunggal, warga emas dan orang sakit. Tetapi yang perlu ditingkatkan ialah perbanyak program untuk tarik sokongan anak muda dengan memberi tumpuan isu berkaitan mereka. Contohnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mereka tidak ikuti sangat. Yang jadi tumpuan mereka apabila tiada pekerjaan, hendak berniaga tidak boleh dan peluang ekonomi. Jadi mereka hendak tahu, kerajaan mana yang membantu dan itulah mereka akan sokong.

Apakah peri pentingnya Selangor dalam menarik sokongan anak muda?

Ini peranan penting Kerajaan Negeri. Pada masa sama, sayap pemuda parti perlu aktif buat program kesedaran. Jangan tunggu kerajaan buat program. Contoh di Selangor, pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu bergerak lebih aktif tarik penyertaan. Tidak semestinya tarik mereka masuk parti tetapi program yang memberi kefahaman tentang politik kerana bidang ini antara proses tentukan hala tuju kehidupan dan dasar negeri. Orang politik akan tentukan dasar yang berkaitan dengan mereka.

Kita akui rakyat penat dengan politik hingga anak muda bosan dan meluat. Jadi, di sini peranan sayap pemuda parti politik khususnya pemuda HARAPAN dan AMK untuk tarik penyertaan anak muda dengan memberi kefahaman serta dan bimbingan.

Perancangan untuk tarik minat anak muda terhadap politik?

Saya bercadang laksanakan program kesedaran politik bersifat pemahaman kenegaraan, proses demokrasi seperti kenapa perlu mengundi dalam PRU, ambil tahu siapa wakil rakyat, ahli parlimen dan ahli majlis kerana mereka ini yang kita pertanggungjawabkan dalam urusan pentadbiran. Saya bercadang Februari lalu tetapi terpaksa tangguh kerana pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Saya akan gerakkan program inisiatif untuk memberi kefahaman tentang kenegaraan dan demokrasi untuk anak muda di Kota Anggerik. Kita akan buat berkala khususnya bagi mereka yang baru tamat persekolahan. Kita akan panggil individu daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pakar akademik untuk berbincang perkara berkaitan sains sosial untuk memberi penerangan mengenai fungsinya.

Bagaimana keyakinan YB untuk terus diberi mandat pada penggal berikutnya?

Sekiranya terus diberi kepercayaan, saya akan pastikan apa yang dibuat untuk empat tahun ini diteruskan dan ditambah baik dari segi usaha menangani masalah miskin bandar, membudayakan ilmu, memperkasakan komuniti serta institusi surau dan masjid. Saya yakin masyarakat di Kota Anggerik tahu hasil kerja saya dan sumbangan serta inisiatif. Insya-Allah mereka akan terus beri kepercayaan dan HARAPAN untuk menerajui Selangor serta DUN ini.

Bagaimana YB melihat sokongan dalam HARAPAN?

Situasi politik dan sokongan HARAPAN adalah melalui kelompok orang Melayu khusus di bandar dan kebanyakan kerusi dimenangi HARAPAN. Kita kena akui, faktor sokongan orang Melayu penting di Selangor. Jadi sebarang program perlu ambil kira faktor ini. Kena perbanyak inisiatif untuk orang Melayu agar terlibat dengan proses ekonomi. Kekuatan KEADILAN adalah parti berbilang kaum menerusi kepimpinan pemimpin Melayu. Anwar orang Melayu dan Islam tetapi boleh diterima orang bukan Melayu sebab pendekatan diambil sederhana.

Adakah yakin kerjasama HARAPAN terus kekal?

Alhamdulillah di Selangor, HARAPAN berbeza dengan negeri lain dan boleh berkongsi kuasa sejak 2008. Walaupun dulu Pakatan Rakyat kini HARAPAN, saya rasa semangat tetap sama untuk menjaga kebajikan rakyat. Kita perlu lihat perkembangan mutakhir di Melaka, Sarawak dan Johor. HARAPAN di Selangor usah berasa terlalu selesa dan tidak anggap kalau menang besar pada 2018, kejayaan kekal sebab politik ada turun naik, dinamiknya. Apa-apa berlaku pada persekitaran agak rapuh, contohnya di Melaka walaupun atas faktor Covid-19, ada asasnya. Di Selangor, HARAPAN jangan berpeluk tubuh atau ambil mudah, perlu terus kukuhkan persepakatan.

Apakah antara tindakan perlu untuk HARAPAN kekal relevan di Selangor?

Perlu ada strategi untuk kekal menang di Selangor. Kita kena kekalkan atau tambah lagi. Namun, jika menang seluruhnya tidak seimbang kerana tiada semak dan imbang. Namun, kita kena kerja kuat untuk pastikan kemenangan kekal dan strategi untuk menang perlu dirangka sekarang, bukan dua tiga bulan sebelum PRU. HARAPAN Selangor perlu merangkanya dari sekarang seperti naratif apa mahu dibawa, contohnya isu anak muda yang dilihat ketinggalan dan ekonomi orang Melayu.

Kita kena bawa strategi untuk menang PRU, kena ada yang realistik seperti isu logo. Isu ini tidak perlu diperbesar asalkan kita menang PRU, bukan mahu cuba logo dan parti mana kuat. Cari strategi yang boleh menang. Jika sebelum ini berjaya mungkin boleh gunakan tapi perlu ada permuafakatan HARAPAN Selangor.


Pengarang :