Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat meninjau kerosakan bumbung jejantas di Taman Bersatu, Rawang pada 8 Mac 2022. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Rawang, Selayang belanja RM30,000 baik pulih bumbung jejantas

SHAH ALAM, 18 MAC: Wakil rakyat Rawang dan ahli parlimen Selayang memperuntuk RM30,000 bagi membaik pulih kerosakan bumbung jejantas di Taman Bersatu, Rawang dekat sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata mereka mengambil insiatif mengeluarkan peruntukan sendiri demi keselamatan rakyat yang menggunakannya setiap hari.

Menurutnya, bumbung yang rosak itu membahayakan kerana jejantas itu adalah laluan utama bagi pelajar dan orang awam susulan terletak berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) San Yuk di Kampung Sungai Terentang.

“Kerosakan itu sudah hampir dua tahun tetapi sehingga kini masih tiada kelulusan peruntukan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja baik pulih.

“Memikirkan keselamatan pelajar dan orang awam yang lalu lalang di situ, saya dan William Leong Jee Keen bersetuju mengguna peruntukan kami untuk menggantikan bumbung baharu di jejantas itu,” katanya ketika dihubungi.

Wei Kiat berkata kerja baik pulih itu akan dilaksanakan JKR Gombak yang dijangka bermula April ini dan siap dengan kadar segera.

“Kita berharap kerajaan persekutuan dapat mengurangkan proses yang rumit bagi pembaikan infrastruktur terutama melibatkan keselamatan dan keselesaan rakyat,” katanya.


Pengarang :