Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Mohammad Redzuan Othman bertukar dokumen dengan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei sambil disaksikan EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Unisel dan Yawas di Dewan Senat Canselori Unisel, Kuala Selangor pada 1 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yawas yakin kerjasama dengan Unisel mampu perkasa golongan OKU

BESTARI JAYA, 2 MAC: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai bersama Universiti Selangor (Unisel) yang disifatkan mampu membantu pembangunan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata majlis itu juga merupakan tanda aras amat bermakna bagi yayasan itu dalam usaha membangunkan sistem pendidikan khas yang inklusif kepada anak istimewa.

“Usaha ini selaras dengan pelan strategik yang terkandung dalam dasar OKU 2016-2022 iaitu untuk meningkatkan pendedahan golongan tersebut kepada pendidikan.

“Melalui MoU ini juga, Unisel akan bekerjasama untuk membangunkan sijil ikhtisas Anak Istimewa Selangor (ANIS). Saya harap inisiatif ini berjalan lancar dan terima kasih kerana sudi bekerjasama dengan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara Unisel dan Yawas di Unisel Bestari Jaya di sini semalam.

Turut hadir EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud serta Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Othman.

Sementara itu, Dr Muhammad Redzuan berkata pihaknya bersedia memberi perkhidmatan terbaik dan inklusif terutama kepada warga OKU serta berkeperluan khas.

“Kita sentiasa berusaha menyediakan persekitaran dan kemudahan yang mampu menyokong pelajar kelompok ini untuk bergerak bebas dan berdikari serta dapat menjalani kehidupan yang baik di Unisel,” katanya.


Pengarang :