Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Muallaf Majlis Agama Islam Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Baitus Salam Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah bersama Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Lembaga Zakat Selangor Dr Adibah Abdul Wahab pada Majlis Pelancaran Modul Bersepadu Baitus Salam 2022 hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Zakat Selangor lancar modul bimbing mualaf di Baitus Salam

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melancarkan Modul Bersepadu Baitus Salam, bagi memberi panduan kepada para pengajar di Baitus Salam untuk menyampaikan ajaran Islam yang lebih komprehensif, khususnya kepada golongan mualaf di pusat perlindungan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Baitus Salam Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata modul bersepadu itu, merangkumi empat aspek iaitu pembangunan ilmu, pengurusan diri, kepimpinan dan kemahiran kerjaya.

“Adalah diharapkan dengan adanya Modul Bersepadu Baitus Salam ini, dapat melahirkan mualaf yang berkualiti dari aspek pengetahuan, pengalaman mahupun keperibadian mereka itu sendiri, di masa hadapan.

“Kita juga memberi bimbingan fardhu ain termasuk ilmu vokasional kepada mualaf demi sosioekonomi yang lebih baik, selain menyusun semula hala tuju mualaf daripada segi emosi dan sosial,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Muallaf Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Modul Bersepadu Baitus Salam di sebuah hotel dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS Dr Adibah Abdul Wahab, Timbalan Setiausaha Mais Nurhani Salwa Jamaluddin dan Pengarah Institut Kajian Zakat Malaysia (IKaZ) merangkap Ketua Penyelidik Modul Bersepadu Baitus Salam Prof Madya Dr Mohd Afandi Mat Rani.

Mohd Farid berkata selain itu, terdapat 180 guru Kelas Fardhu Ain Mualaf (KFAM) berlesen di luar Baitus Salam untuk membantu golongan berkenaan dalam meningkatkan ilmu pengetahuan Islam.

Menjelas lanjut, Mohd Farid berkata tujuan utama penubuhan Baitus Salam adalah untuk melindungi mualaf yang disisihkan oleh keluarga dan saudara mara, selepas memeluk Islam.

Baitus Salam mula beroperasi pada Januari 2016 di bawah pengurusan dan pembangunan mualaf MAIS, sebelum fungsi dan peranannya dipindahkan ke LZS pada 1 April 2017.

Seramai 244 orang asnaf telah diberi bimbingan fardhu ain sejak Baitul Salam ditubuhkan, dan terdapat dalam kalangan mereka berjaya melanjutkan pelajaran, mendapat pekerjaan termasuklah mendirikan rumah tangga.

Sementara itu, Adibah berkata Baitus Salam bakal dijadikan mekanisme dalam mempertingkatkan ilmu fardhu ain mualaf, sehingga mampu menjadi mukalaf.

“Kita juga ingin memperkasakan ekonomi mereka agar dapat melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang fardhu ain semata-mata, malah mampu menguasai ilmu ekonomi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :