Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3) pada 16 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1.42 juta kanak-kanak dapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Sebanyak 1,420,019 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun atau 39.9 peratus daripada populasi itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, sebanyak 452,633 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 12.7 peratus, telah lengkap divaksinasi.

Bagi remaja berumur antara 12 dan 17 tahun, sejumlah 2,875,587 individu atau 92.4 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 2,976,803 atau 95.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Untuk populasi dewasa, sebanyak 15,980,555 individu atau 67.9 peratus telah menerima dos penggalak, manakala 22,961,507 atau 97.6 peratus telah melengkapkan dos kedua, selain 23,238,533 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam sebanyak 55,642 dos vaksin diberikan, melibatkan 40,397 dos kedua, 6,247 dos penggalak dan 8,998 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,692,713.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 16 kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu lima kes diikuti Johor dengan tiga kes.

Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing merekodkan dua kes, manakala Perak serta Sarawak masing-masing mencatatkan satu kes.

-BERNAMA

 


Pengarang :