Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

10,041 kes sembuh Covid-19, atasi angka jangkitan baharu 5,624

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Sebanyak 10,041 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 direkodkan negara semalam sekali gus mengatasi kes baharu positif wabak itu yang berjumlah 5,624 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumulatif kes sembuh yang direkodkan semalam adalah 4,310,599.

“Daripada 5,624 kes harian itu, sebanyak 1,765 kes atau 31.38 peratus merupakan pesakit kategori satu manakala 3,835 kes atau 68.19 peratus adalah kategori dua.

“Manakala kategori tiga yang dikesan adalah 12 kes (0.21 peratus) dan bagi kategori empat dan lima masing-masing dikesan sebanyak enam kes iaitu 0.11 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 89 kes dan sebanyak 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 218 kes positif Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 111 kes atau 50.9 peratus melibatkan pesakit kategori tiga, empat dan lima, manakala 107 kes atau 49.1 peratus adalah kategori satu dan dua.

Selain itu, satu kluster baharu turut dikenal pasti menjadikan jumlah kluster aktif kini adalah 99 kluster.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 (nilai Rt), beliau berkata Malaysia mencatatkan nilai Rt pada kadar 0.77 dengan Putrajaya merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.10.

– BERNAMA


Pengarang :