Petugas kesihatan memasukkan vaksin Covid-19 dalam picagari untuk diberikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

11,233 kes sembuh dicatat semalam, terus atasi jangkitan baharu Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Malaysia merekodkan 11,233 kes sembuh Covid-19 setakat semalam, lebih tinggi berbanding 6,623 kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 6,610 adalah kes tempatan dengan 96.1 peratus adalah warganegara dan 3.9 peratus bukan warganegara, manakala 13 kes import melibatkan 84.6 peratus warganegara dan 15.4 peratus bukan warganegara.

Menerusi kenyataan hari ini Dr Noor Hisham berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini adalah 4,389,025, selain enam kluster baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kluster aktif adalah 120 kluster.

Sebanyak 241 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital yang merangkumi 106 kes daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala 135 kes adalah kategori satu dan dua, katanya.

Sementara itu, bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus untuk kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata tiada negeri yang mencatat penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil bukan ICU melebihi 50 peratus.

Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula, hanya Perak merekodkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu 58 peratus.

Beliau berkata pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 76 pesakit semalam dengan peratusan penggunaan ventilator adalah 10 peratus.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara adalah 0.86 dengan Selangor merekodkan nilai tertinggi iaitu 0.89.

– BERNAMA


Pengarang :